Lihat di angkasa dan anda dapat melihat pesawat penumpang komersial seperti Boeing 737, dan Airbus A320. Walaupun dihasilkan oleh dua syarikat berbeza, pesawat kelihatan hampir sama. Malahan rekaan pesawat penumpang komersial tidak banyak berubah dari Boeing 707 yang dilancarkan pada tahun 1957.
Tetapi Celera 500L oleh Otto Aviation cuba melakukan anjakan paradigma terbesar dalam industri penerbangan awam sejak setengah kurun. Kapal terbang ini mempunyai tubuh yang kelihatan seperti sebutir peluru dan mampu mengurangkan kos penerbangan sebanyak lapan kali ganda.
Menurut Otto Aviation, pesawat mampu terbang di antara 29-40 kilometer untuk setiap gelen bahan api. Sebagai perbandingan pesawat peribadi dengan saiz yang sama biasanya mampu terbang sehingga 4.8 kilometer untuk setiap gelen bahan api. Kadar penggunaan minyak Celera 500L adalah lebih menyerupai sebuah van dan kos operasi pula hanya $328 (~RM1360) sejam.
Rekaan tubuh seperti peluru mengurangkan geseran udara. Tambahan lagi ia turut membolehkan pesawat meluncur 125 batu di udara tanpa tujahan enjin – tiga kali ganda lebih baik berbanding pesawat biasa. Kesemua ini dapat dilakukan dengan hanya menggunakan sebuah enjin turboprop pada bahagian buritan. Pesawat juga mampu terbang pada kelajuan maksimum 740 kilometer sejam dan terbang sehingga 7242 kilometer.
Celera 500L ialah pesawat yang mampu membawa sehingga enam orang penumpang. Otto Aviation masih melakukan ujian penerbangan dan menyasarkan penerbangan komersial pertama akan dilakukan seawal 2025.
Kerana wabak Covid-19, syarikat penerbangan kini mencari cara untuk mengurangkan kos operasi. Ini menyebabkan pesawat gergasi seperti Boeing 747 dan Airbus A380 dibersarakan awal. Berita buruk bagi peminat aeronautik ialah rekaan Celera 500L tidak boleh digunakan untuk pesawat penumpang bersaiz lebih besar kerana kekangan hukum fizik.