Cari @ Amanz

Seperti yang sedia maklum, Google Images merupakan ruangan untuk pengguna mencari informasi berbentuk visual untuk pelbagai keperluan. Namun begitu, kita juga sering melihat berlakunya situasi di mana terdapatnya imej yang digunakan tanpa meminta kebenaran pemilik terlebih dahulu.

Dalam usaha menangani permasalahan ini, Google kini telah menambah satu lagi fungsi baru, di mana membolehkan pengguna menetapkan maklumat perlesenan pada imej hak cipta mereka. Fungsi ini sebenarnya telah diuji dalam versi beta sejak bulan Februari lalu dan kini ianya telah tersedia kepada umum.

Melaluinya, mana-mana imej yang mempunyai maklumat perlesenan akan dipaparkan dengan lencana yang bertanda “Licensable” dalam setiap hasil carian. Ia bertujuan bagi memberitahu pengguna lain bahawa imej tersebut mempunyai maklumat berlesen.

Pada imej tersebut juga, turut tersedia pautan yang akan memaparkan butiran lanjut berkaitan pencipta dan bagaimana prosedur sepatutnya untuk menggunakan imej berkenaan. Dalam perkembangan lain, hasil carian pada Google Image juga kini boleh ditapis bagi menunjukkan senarai imej yang mempunyai maklumat berlesen.

Dengan perubahan seperti ini, rasanya ia sangat berguna buat para pencipta kandungan untuk terus melindungi hak cipta masing-masing. Selain turut, dapat membantu orang ramai menggunakan sebarang imej pada web dengan lebih bertanggungjawab.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd