Nokia sehingga hari ini masih kekal sebagai syarikat yang banyak hadir dengan peranti kelas pertengahan mampu milik yang menjalankan sistem operasi mirip Android asli. Terkini, mereka bakal hadir dengan peranti Nokia 2.4 yang mana dilaporkan akan dilancarkan pada acara IFA 2020.

Imej pengolokan rasmi peranti ini baru-baru ini telah tertiris oleh peniris terkenal, Evan Blass. Nokia 2.4 dilihat akan menggunakan rekaan skrin bertakuk kecil dan dagu yang tebal untuk memaparkan jenama mereka. Bukan itu sahaja, peranti ini turut dilihat menggunakan panel belakang dengan warna cerun. Peranti juga dilihat mempunyai butang fizikal khas untuk menyeru Google Assistant.
Peranti ini turut dikhabarkan akan dijana dengan cip Helio P22, skrin HD+ dan memori serendah 2GB RAM dan storan dalaman 32GB. Kita akan ketahui lanjut mengenai peranti ini sebaik sahaja acara IFA 2020 bermula.