Redmi kini dilihat mula berjinak-jinak untuk memperluaskan lagi penawaran aksesori audio dengan memperkenalkan fon telinga berwayar pula. Dikenali sebagai Redmi Earphones, set fon telinga ini hadir dengan rekaan jenis dalam-telinga (in-ear) bersama putik silikon yang diperbuat daripada bahan khusus untuk keselesaan yang baik.

Seterusnya, set fon telinga ini juga diperbuat daripada aloi aluminium untuk binaan yang kukuh dengan berat sekitar 13 gram. Setiap fon telinga turut dimuatkan dengan pemacu audio 10mm dan dilengkapi mikrofon definisi tinggi secara terbina untuk kualiti yang lebih jelas. Selain itu, ia juga turut disertakan dengan kawalan fizikal khas bagi membolehkan pengguna mengawal sejumlah tetapan.
Untuk sambungan, Redmi Earphones dilihat menggunakan bicu 3.5mm dan hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Red, Black dan Blue. Buat masa ini, ia hanya ditawarkan di pasaran India dengan harga sekitar Rs.399 (~RM23).