Cari @ Amanz

Hanya beberapa bulan selepas siri komputer riba nipis dan ringan yang dikuasakan siri CPU Intel generasi kesepuluh Intel Comet Lake dan Ice Lake di pasaran, Intel mengumumkan pula ketibaan siri CPU kesebelas mereka untuk siri komputer riba ini yang dinamakan Tiger Lake.

Ketibaan siri CPU Tiger Lake ini bukanlah sesuatu yang baru, kerana pelbagai maklumat yang tertiris, disamping eksekutif Intel sendiri yang memperlihatkan sedikit sebanyak kemampuan siri CPU terbaru ini dengan video-video ringkas.

Sama seperti Ice Lake, siri CPU Tiger Lake ini dibina menggunakan proses 10nm, tetapi hadir dengan pelbagai ciri-ciri serba baru, seperti sokongan untuk Thunderbolt 4 dan juga WiFi 6 yang menjanjikan kadar penghantaran data dan juga sambungan Internet yang pantas.

Tetapi apa yang paling penting untuk pelancaran siri CPU Tiger Lake ini mungkin adalah cip pemprosesan grafik terbina yang digunakan. Jika Ice Lake menggunakan Intel Iris Plus yang memperlihatkan peningkatan grafik yang berganda berbanding dengan Intel UHD Graphics, siri CPU Tiger Lake menggunakan cip pemprosesan Xe, yang merupakan projek pemprosesan grafik terbaru oleh Intel yang biasa dilihat digunakan di pusat-pusat data sebelum ini.

Menurut Intel, dengan cip grafik Xe ini, pengguna komputer riba nipis dan ringan yang dikuasakan CPU Tiger Lake boleh menggerakkan permainan-permainan moden seperti Borderlands 3, Far Cry New Dawn, Hitman 2 dan sebagainya pada resolusi Full HD pada kadar segar semula yang boleh dimainkan dengan lancar.

Pada awal tahun ini, Intel ada memperkenalkan Project Athena sebagai sambungan kepada projek Ultrabook mereka sebelum ini, dimana komputer-komputer riba ringan dan nipis yang menggunakan CPU Comet Lake dan Ice Lake dikatakan mempunyai prestasi lebih baik berbanding model-model sebelum ini.

Dengan pengumuman Tiger Lake, Intel turut mengumumkan kehadiran Intel Evo yang secara ringkasnya ialah Project Athena generasi kedua yang memfokuskan kepada kecekapan penggunaan kuasa dan prestasi multimedia pada komputer riba nipis dan ringan.

Berikut adalah model-model CPU Intel Tiger Lake yang akan diperkenalkan pada pelbagai jenis komputer riba nipis dan ringan tidak lama lagi:

Model Grafik Teras / Bebenang Grafik (Unit Pelaksanaan) Cache Memori Julat Operasi Kelajuan Asas (GHz) Kelajuan Turbo Satu Teras(GHz) Kelajuan Turbo Semua Teras(GHz) Kelajuan Maksima Grafik(GHz) Intel® DL Boost /Intel® GNA 2.0
UP3 Intel® Core™ i7-1185G7 Intel Iris Xe 4/8 96 12MB DDR4-3200LPDDR4x-4266 12-28W 3.0 4.8 4.3 1.35
Intel® Core™ i7-1165G7 Intel Iris Xe 4/8 96 12MB DDR4-3200LPDDR4x-4266 12-28W 2.8 4.7 4.1 1.30
Intel® Core™ i5-1135G7 Intel Iris Xe 4/8 80 8MB DDR4-3200LPDDR4x-4266 12-28W 2.4 4.2 3.8 1.30
Intel® Core™ i3-1125G4 Intel UHD Graphics 4/8 48 8MB DDR4-3200LPDDR4x-3733 12-28W 2.0 3.7 3.3 1.25
Intel® Core™ i3-1115G4 Intel UHD Graphics 2/4 48 6MB DDR4-3200LPDDR4x-3733 12-28W 3.0 4.1 4.1 1.25
.
UP4 Intel® Core™ i7-1160G7 Intel Iris Xe 4/8 96 12MB LPDDR4x-4266 7-15W 1.2 4.4 3.6 1.1
Intel® Core™ i5-1130G7 Intel Iris Xe 4/8 80 8MB LPDDR4x-4266 7-15W 1.1 4.0 3.4 1.1
Intel® Core™ i3-1120G4 Intel UHD Graphics 4/8 48 8MB LPDDR4x-4266 7-15W 1.1 3.5 3.0 1.1
Intel® Core™ i3-1110G4 Intel UHD Graphics 2/4 48 6MB LPDDR4x-4266 7-15W 1.8 3.9 3.9 1.1

Menurut Intel, jenama-jenama pembuat komputer riba popular semuanya bakal hadir dengan sekitar 150 rekaan komputer riba nipis dan ringan baru yang dikuasakan CPU Intel Tiger Lake ini, dimana ia akan dipasarkan dalam masa yang terdekat ini.

Jika anda sedang berfikir untuk membeli sebuah komputer riba nipis dan ringan yang berkuasa untuk melakukan tugas harian anda, mungkin siri komputer Intel Evo terbaru ini adalah sesuatu yang anda akan inginkan untuk diri anda.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd