Carian
Acer Mengemaskini Swift 3 Dan Swift 5 Dengan CPU Intel Generasi Ke-11 – Kini Disahkan Sebahagian Intel Evo
September 3, 2020 Nazrin

Acer Swift merupakan siri komputer riba nipis, ringan dan berkuasa yang juga tiba dengan jangkahayat bateri yang cukup panjang. Terkini, selepas pengumuman siri CPU Intel generasi ke-11 Tiger Lake, Acer turut mengemaskini siri komputer riba ini dengan cip pemprosesan tersebut.

Siri komputer riba yang dikemaskini ini termasuklah Acer Swift 3 dan juga Acer Swift 5, dimana kedua-duanya ialah komputer riba nipis dan ringan dengan rekaan yang sedikit berbeza.

Bermula dengan Acer Swift 3, ia bukan sahaja dikemaskini dengan pilihan CPU Intel generasi ke-11 yang baru, tetapi juga mempunyai rekaan paparan 13.5 inci dengan resolusi 2256 x 1504 dengan nisbah aspek 3:2, menjadikan paparan ini lebih tinggi.

Lebih menarik lagi, paparan ini mempunyai kecerahan setinggi 400nit dan merangkumi gamut warna sRGB 100 peratus sepenuhnya yang menjadikan komputer riba ini juga cukup sesuai untuk pereka grafik dan mereka yang melakukan pelbagai tugasan kreatif.

Dalam pada itu, dengan penggunaan CPU Intel generasi ke-11 ini juga, Acer menjanjikan jangkahayat bateri selama 18 jam dengan satu pengecasan penuh.

Dari segi I/O, Acer Swift 3 ini turut tiba dengan sokongan untuk sambungan internet WiFi 6 dan juga palam USB-C Thunderbolt 4 terbaru yang menjanjikan kadar penghantaran data yang sangat pantas.

Dari segi rekaan, Acer Swift 3 menggunakan aloi magnesium-aluminium untuk memastikan komputer riba ini kekal ringan dengan berat 1.2kg dan ketebalan 15mm sahaja.

Acer Swift 5 boleh dikatakan komputer riba nipis dan ringan paling popular keluaran Acer, dimana ia bukan sahaja nipis dan ringan, ia turut dilengkapi komponen-komponen yang memberikannya prestasi dan ciri-ciri terbaru.

Komputer riba ini dimuatkan dengan paparan 14 inci dengan resolusi Full HD dengan kecerahan 340nit yang juga menyokong gamut warna sRGB sepenuhnya, dimana saiz paparan ini menggunakan 90 peratus daripada keseluruhan bingkai paparan.

Ia dikuasakan oleh pilihan CPU Intel Core i7 dan Core i5 generasi ke-11 yang juga tiba dengan ciri-ciri baru seperti WiFi 6 dan Thunderbolt 4 didalam sebuah rangka binaan dengan berat 1kg sahaja.

Satu ciri baru yang diperlihatkan pada Swift 5 ini ialah penggunaan lapisan anti-mikrobial pada permukaan paparan, papan kekunci, tempat letak tangan dan juga penutup komputer riba ini untuk membasmi kuman yang mungkin hadir apabila menggunakan komputer riba ini.

Kedua-dua komputer riba Acer Swift 3 dan Acer Swift 5 ini akan berada dibawah payung Intel Evo sebagai komputer riba nipis, ringan dan berkuasa yang menggunakan cip pemprosesan terbaru daripada Intel.

Komputer riba Acer Swift 3 dan Swift 5 ini akan tiba di beberapa pasaran terpilih menjelang musim luruh tidak lama lagi. Tanda harga untuk pasaran Amerika Syarikat diperlihatkan pada $699 dan $799 untuk model Acer Swift 3, manakala untuk Acer Swift 5, ia akan diperkenalkan pada tanda harga bermula $999.

Buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah komputer-komputer riba ini akan memasuki pasaran tempatan.

Komen