Vivo Mempatenkan Peranti Dengan Kamera Periskop Dan Panel Belakang Dwi-Tona Warna

Vivo Mempatenkan Peranti Dengan Kamera Periskop Dan Panel Belakang Dwi-Tona Warna

Diterbitkan pada Sep 3, 2020 oleh .

Vivo tidak asing dengan telefon pintar yang berinovasi. Mereka adalah antara yang terawal hadir dengan telefon pintar 5G, skrin melengkung waterfall, dan juga peranti dwi-skrin depan dan belakang. Terkini mereka telah mempatenkan sebuah peranti dengan kamera periskop serta panel belakang yang dwi-tona warna.

Peranti ini dilihat dipatenkan oleh Vivo Mobile Communications kepada CNIPA (China National Intellectual Property Administration). Berdasarkan rekaan paten yang telah mereka failkan ini, ia memperlihatkan penggunaan skrin rata dengan rekaan skrin berlubang serta bezel yang nipis dan bucu yang melengkung. Di sisi terdapat butang kuasa, butang aras suara dan juga butang luncur yang mana mungkin seperti OnePlus iaitu untuk kawalan notifikasi. Di bawah pula ada port USB-C, slot kad SIM dan lubang mikrofon. Tetapi langsung tiada imej memperlihatkan earpiece atau pembesar suara – tetapi ada lingkaran warna hitam di bawah peranti ini yang mungkin adalah kekisi?

Di bahagian belakang pula, jelas kelihatan yang panelnya menggunakan warna dwi-tona. Kemudian ada modul kamera berbentuk bulat yang memuatkan lensa periskop, lensa utama, serta dua lagi ruang mungkin satu kamera dan satu lampu LED flash. Rekaan seperti ini mirip dengan peranti NEX, jadi ia mungkin adalah paten untuk peranti NEX seterusnya. Disebabkan nombor 4 di China adalah nombor malang, ia mungkin untuk NEX 5 atau mungkin NEX V. Sama-sama kita nantikan.



TIPS & ULASAN