Cari @ Amanz

Acer baru sahaja memperlihatkan siri komputer riba Swift 3 dan Swift 5 mereka menerima kemaskini CPU baru, dan juga komputer riba boleh-lipat Acer Spin 5 telah menerima kemaskini baru selepas beberapa tahun.

Terkini, Acer juga nampaknya akan memperkenalkan sebuah lagi komputer riba boleh-lipat didalam siri Spin yang dinamakan Acer Spin 7. Dari segi rekaan, komputer riba ini hadir dengan paparan IPS boleh sentuh bersaiz 14 inci dengan resolusi Full HD.

Seperti model Spin 5, paparan komputer riba Spin 7 ini juga boleh dipusing 360 darjah untuk menukar komputer riba ini menjadi sebuah tablet.

Dari segi spesifikasi dalaman, ia akan dikuasakan oleh CPU Qualcomm Snapdragon 8cx generasi kedua, dimana ia mempamerkan sokongan untuk beberapa teknologi sambungan baru seperti WiFi 6 dan juga 5G. Untuk model ini, ia nampaknya menyokong kedua-dua sambungan mmWave dan juga Sub-6.

Tidak banyak butiran lain yang diketahui mengenai komputer riba ini buat masa ini, kecuali bahawa ia digerakkan menggunakan sistem operasi Windows 10, dan mempunyai ketahanan bateri 24 jam dengan satu pengecasan penuh.

Selain daripada butiran-butiran yang diperlihatkan ini, Acer masih belum mengumumkan tanda harga dan juga tarikh pelancaran Spin 7 ini, bersama-sama dengan pilihan memori dan storannya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd