Carian
Qualcomm Memperkenalkan Cip Snapdragon 8cx Generasi Kedua Dan Sokongan 5G Untuk Siri Snapdragon 400
September 3, 2020 Nazrin

Setelah mendominasi arena peranti pintar untuk sekian lama, Qualcomm kini nampaknya bakal memasuki pasaran komputer riba pula dengan sistem-dalam-cip (SoC) generasi kedua Qualcomm Snapdragon 8cx mereka.

Cip pemprosesan ini, yang dibina berdasarkan CPU Qualcomm Cryo 495 mereka yang telah dikemaskini dengan sokongan untuk beberapa ciri baru. Ini termasuklah sokongan untuk sambungan kepada dua paparan 4K60FPS melalui sebuah kabel USB Type-C, ataupun satu paparan 4K dengan sokongan HDR.

Dari segi sokongan rangkaian, Snapdragon 8cx ini hadir dengan model Qualcomm X24 4G terbina didalamnya, tetapi bergantung kepada keperluan, ia juga boleh dimuatkan dengan modem Qualcomm X55 yang menyokong dua jenis sambungan rangkaian 5G, iaitu mmWave dan juga Sub-6. WiFi 6 yang semakin meluas penggunaannya pada komputer-komuter riba moden juga disokong melalui SoC ini.

Sokongan 5G pada peranti pintar buat masa ini hanya dapat dilihat melalui peranti-peranti premium dan kelas pertengahan yang menggunakan CPU Qualcomm terbaru, seperti Snapdragon 865, Snapdragon 730G ataupun Snapdragon 690.

Walaupun begitu, pihak Qualcomm juga mengumumkan bahawa siri SoC Qualcomm Snapdragon 400 akan dimuatkan dengan sokongan rangkaian 5G tidak lama lagi.

Ini mungkin kerana mereka menjangkakan bahawa rangkaian 5G akan semakin meluas penggunaannya dalam masa terdekat dan sederhana ini, dan ingin memastikan walaupun mereka yang hanya mampu membeli peranti murah sekalipun untuk menikmati kelajuan dan prestasi sambungan internet pantas ini.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah siri CPU Snapdragon 400 dengan sokongan 5G akan mula diperkenalkan.

Komen