Cari @ Amanz

Sepanjang waktu apabila wabak COVID-19 menular di seluruh dunia, permaintaan untuk komputer riba bagi tujuan produktiviti boleh dikatakan meningkat secara mendadak oleh kerana keperluan orang ramai untuk bekerja dari luar pejabat ataupun di rumah.

MSI ialah sebuah jenama teknologi yang cukup terkenal untuk siri komputer riba gaming dan produktiviti kreatif mereka baru sahaja mengumumkan siri komputer riba terbaru mereka, iaitu siri MSI Summit.

Siri komputer MSI Summit ini ialah komputer riba produktiviti nipis dan ringan yang dikuasakan CPU Intel Core generasi ke-11 Tiger Lake yang bukan sahaja hadir dengan prestasi berkuasa, tetapi juga pelbagai ciri baru.

Apa yang juga menarik mengenai siri komputer riba ini ialah MSI telah mencipta sebuah logo baru khusus untuk MSI Summit menggunakan urutan Fibonacci (Fibonacci Sequence).

Siri komputer riba MSI Summit ini terdiri daripada beberapa model, tetapi dua model utama yang diperkenalkan hari ini ialah MSI Summit E15 dan juga MSI Summit E14.

Seperti yang boleh dilihat pada nama kedua-dua komputer riba ini, MSI Summit E15 hadir dengan paparan bersaiz 15.6 inci, manakala MSI Summit E14 dilengkapi paparan bersaiz 14 inci.

Kedua-dua paparan IPS ini hadir dengan resolusi dan ciri-ciri yang sama, iaitu resolusi UHD 4K dengan sokongan gamut warna Adobe RGB 100 peratus yang hadir dengan ciri sesentuh.

Dari segi komponen, apa yang diketahui buat masa ini ialah ia tiba dengan pilihan CPU Intel Core generasi kesebelas, sokongan untuk memori DDR4 sehingga 64GB/32GB untuk model E15/E14 dan slot storan M.2 PCIe 4.0.

Dari segi kebolehan grafik pula, walaupun kedua-dua komputer riba ini mempunyai sokongan cip grafik Intel Iris Xe yang terbaru, ia turut dimuatkan dengan kad grafik NVIDIA GeForce GTX1650Ti.

Ciri-ciri yang akan tiba pada siri MSI Summit ini boleh diperlihatkan daripada palam I/O yang dimuatkan, termasuklah palam Thunderbolt 4 terbaru, palam USB 4.0 Type-A, dan pembaca kad microSD yang menyokong tahap kelajuan UHS-III.

Buat masa ini, MSI masih belum mengesahkan lagi bilakah siri komputer riba Summit ini akan tiba untuk pasaran antarabangsa ataupun tempatan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd