Cari @ Amanz

Kebanyakan pengumuman daripada jenama-jenama pembuat komputer riba terkemuka mengenai model-model yang dikemaskini dengan siri CPU Intel Core generasi ke-11 adalah berkaitan komputer riba produktiviti nipis dan ringan.

MSI secara senyap mengumumkan bahawa mereka akan hadir dengan sebuah komputer riba yang memfokuskan kepada tujuan gaming yang menggunakan siri CPU tersebut yang dinamakan MSI Stealth 15M.

MSI Stealth 15M ini hadir dengan paparan IPS 15.6 inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula 144Hz yang dikuasakan pilihan CPU Intel Core generasi ke-11, memori DDR4 sehingga 64GB dan juga hadir dengan satu slot storan SSD PCIe 4.0 yang boleh dimuatkan didalamnya.

Dari segi pilihan grafik, MSI Stealth 15M ini dilengkapi pilihan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1660 Ti ataupun NVIDIA GeForce RTX 2060 Max-Q yang cukup berkuasa untuk menggerakkan pelbagai permainan pada resolusi Full HD dan tetapan tinggi.

Komponen-komponen ini dirumahkan didalam sebuah rangka setebal 15.95mm dan seberat 1.78kg sahaja, menjadikannya sebagai sebuah komputer riba yang bukan sahaja berkuasa, tetapi cukup nipis dan ringan untuk dibawa kemana-mana.

Dari segi I/O, seperti komputer-komputer riba yang dikuasakan CPU Intel terbaru ini, ia akan tiba dengan palam USB 3.2 Type-A dan palam Thunderbolt 4 yang juga boleh digunakan untuk mengecas komputer riba ini.

Buat masa ini, pihak MSI masih belum mengesahkan bilakah komputer riba MSI Stealth 15M ini akan tiba di pasaran antarabangsa mahupun tempatan.

Akan tetapi kami diberitahu bahawa terdapat kemungkinan ia akan menjadi diantara komputer riba MSI pertama yang dikuasakan siri CPU Intel Core generasi ke-11 yang akan tiba di pasaran tempatan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd