Cari @ Amanz

Jarang sama sekali pengeluar peranti akan mengaku mereka meniru atau mengambil konsep rekaan dari pesaing. Tetapi TCL memang berani, semasa acara IFA mereka mengumumkan TWS tersendiri iaitu TCL MOVEAUDIO S200. Dengan selamba, mereka menyatakan ia menggunakan rekaan yang semua sudah kenal tetapi dijual pada harga lebih murah.

MOVEAUDIO S200 ini menggunakan pembatalan hingar persekitaran yang menggunakan kaedah beamforming melalui empat mikrofon terbina. Ini adalah untuk memastikan kualiti panggilan telefon kekal bagus tanpa gangguan bunyi bising. Untuk masa pendam yang rendah, TWS ini menggunakan Bluetooh 5.0, kemudian turut menyokong Fast Pair dari Google untuk tambatan lebih pantas dan peranti pengguna turut boleh memaparkan status bateri.

Untuk kualiti audio, menurut TCL mereka menggunakan gegelung sensitif tinggi untuk menjamin kualiti muzik yang baik, bass yang dalam serta akustik yang lembut. Ia turut hadir dengan sensor yang boleh menjeda audio ketika fon telinga ditanggalkan, kawalan gestur sesentuh serta kemampuan menyeru pembantu digital.

Bateri adalah sedikit mengecewakan, dengan ketahanan 3.5 jam penggunaan berterusan dan 23 jam bersama-sama dengan pod pengecasan. Harga jualan pula hanyalah €99, iaitu sekitar RM486.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd