Selain daripada telefon pintar, sebenarnya jam pintar juga dilihat berjaya mendominasi pasaran dengan kelompok peminat yang tersendiri. Melaluinya kita juga dapat lihat, pelbagai pengeluar berlumba-lumba menghasilkan jam pintar dengan rekaan tercanggih bersama fungsi hebat termasuklah Huawei.
Sejak kebelakang ini, Huawei menjadi bualan ramai ekoran perancangan untuk muncul dengan pewaris seterusnya bagi segmen peranti boleh-pakai mereka. Berkemungkinan besar dikenali sebagai Huawei Watch GT 2 Pro, peranti ini menjadi buah mulut orang ramai selepas terdapat dakwaan yang mengatakan spesifikasinya juga telah tertiris.
Memetik sumber, Huawei Watch GT 2 Pro mungkin hadir dalam satu saiz tali sahaja iaitu 46mm bersama dua pilihan warna. Tali ini juga hadir dalam dua pilihan, sama ada jenis kulit atau silikon. Menurut sumber lagi, jam pintar mungkin menyertakan skrin bersaiz 1.39-inci OLED dengan resolusi 454 x 454 piksel.
Seterusnya, ia juga mungkin diperbuat daripada keluli tahan karat dengan rekaan yang lebih menarik berbanding pendahulunya. Seterusnnya, ia juga mungkin menggunakan cip Kirin A1 dan menjalankan antaramuka LiteOS. Spesifikasi lain termasuklah sejumlah sensor untuk memantau kecergasan dan kesihatan pengguna, sokongan pengecasan nirwayar dan penggunaan pengecasan magnetik.
Seperti biasa, maklumat dikongsi masih di peringkat ura-ura. Jika anda seorang pemakai atau peminat jam pintar keluaran Huawei, apa kata anda berkaitan perkara ini?