Terdapat pelbagai jenis tetikus di pasaran yang menyasarkan penggunaan yang berbeza. Untuk peminat permainan komputer, butang sisi tambahan adalah perlu untuk mengkases makro dan menambah aksi yang boleh dilakukan di dalam permainan. Razer Naga Pro yang dilancarkan hari ini cuba memudahkan proses memilih jenis tetikus kerana hadir dengan tidak plat sisi yang boleh ditukar.
Tiga plat sisi yang ditawarkan mempunyai 12 butang untuk permainan MMO RPG, 6 butang untuk permainan Battle Royale dan 2 butang untuk permainan FPS biasa. Dengan penawaran tiga plat ini, pengguna boleh menyesuaikan tetikus dengan permainan yang ingin dinikmati lebih pantas.

Seperti aksesori lain Razer, tetikus menggunakan suis optikal yang lebih pantas, sensor dengan keperincian sehingga 20,000 DPI dan kelajuan sehingga 650 inci sesaat. Bateri yang digunakan menawarkan tempoh operasi sehingga 150 jam. Sistem lampu RGB Razer Chroma juga diberikan kerana ini ialah tetikus yang dipasarkan untuk peminat permainan video tegar.
Di Malaysia Razer Naga Pro akan dijual bermula hari ini secara atas talian dan pada penghujung September di luar talian pada harga RM709 sebuah.