Kelak Anda Mungkin Perlukan Lesen Untuk Kenderaan Mikromobiliti Seperti Skuter Elektrik

Kelak Anda Mungkin Perlukan Lesen Untuk Kenderaan Mikromobiliti Seperti Skuter Elektrik

Diterbitkan pada Sep 6, 2020 oleh .

Kenderaan berbentuk mikromobiliti seperti skuter elektronik dan sebagainya semakin popular dikalangan ramai pengguna akhir-akhir ini – dimana ia digunakan untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi berdekatan yang lain.

Menurut kerajaan, kenderaan mikromobiliti ditakrifkan sebagai kenderaan yang dikuasakan elektrik, dan mampu mencapai kelajuan maksimum 50km/j.

Terbaru, dengan mengambil kira isu keselamatan orang ramai, terutamanya pengguna jalan raya, perkara berkaitan kenderaan mikromobiliti telah termaktub dalam Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020. Ia telah diluluskan di Dewan Rakyat, dan akan dibentangkan di Dewan Negara.

Skuter Elektronik

Melalui perkongsian Menteri Pengangkutan Malaysia, beliau menyentuh tiga perkara yang perlu dipandang serius, iaitu:

1) Isu keselamatan orang ramai terutamanya pengguna jalan raya lain, kerana tiadanya perlindungan insurans. Jika berlaku kemalangan, individu yang berkenaan akan menghadapi masalah kewangan. Bagi pengguna lain, mereka pula yang terpaksa keluarkan duit sendiri atau membuat tuntutan insurans sendiri bagi tujuan membaiki kenderaan atau untuk perlindungan kesihatan mereka.

2) Setelah RUU Pengangkutan Jalan (pindaan) 2020 diluluskan dan menjadi undang-undang kelak, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) akan mengawal selia jenis-jenis penggunaan kenderaan ini seperti mewajibkan pendaftaran dan mempunyai lesen memandu termasuk jika bersesuaian, melarang penggunaan jenis-jenis kenderaan sebegini daripada digunakan di atas jalan raya.

3) Kelak, setelah diwartakan dan menjadi undang-undang, MOT akan mengelaskan jenis-jenis kenderaan di bawah kategori mikromobiliti ini. Mana yang wajar dilesen dan didaftarkan, akan diwajibkan berbuat demikian. Mana-mana jenis yang dari segi keselamatan tidak sesuai digunakan secara bercampuran di atas jalan raya, akan dihalang daripada digunakan atas dasar keselamatan dan kepentingan pengguna jalan raya yang lain.

Dengan perkembangan baru ini, kita akan mendengar lanjut mengenai pindaan undang-undang dan kenderaan yang tertakluk dibawahnya dalam masa terdekat ini.



TIPS & ULASAN