Cari @ Amanz

Samsung Galaxy Note adalah siri peranti mercu kedua tahunan dari Samsung. Awal tahun mereka akan lancarkan sebuah peranti mercu dalam siri Galaxy Sm yang mana itu adalah peranti yang seimbang dari segi prestasi, kamera dan bateri. Tetapi Galaxy Note pula adalah peranti yang memfokuskan produktiviti, kerana adanya stilus S-Pen. Walau bagaimanapun, jika anda perasan sejak Galaxy Note 9 – Samsung mula memfokuskan permua melalui siri Galaxy Note ini.

Begitu juga dengan Galaxy Note20 yang dilancarkan baru-baru ini. Samsung bekerjasama dengan Micrsosoft untuk menyertakan sokongan xCloud. Galaxy Note20 juga ada dua variasi di Malaysia iaitu 4G dan 5G, yang mana perkara ini akan membuatkan ramai pengguna persoalkan yang mana satu lebih baik dibeli? Sedangkan Malaysia masih tidak mempunyai rangkaian 5G untuk penggunaan umum. Ini adalah artikel ulasan kami mengenai Samsung Galaxy Note20 5G, jika anda ingin memiliki peranti ini – sila baca terlebih dahulu.


Spesifikasi & Rekaan

Paparan6.7″ Super AMOLED, FHD+,
HDR10+, 60Hz (393 PPI)
PemprosesExynos 990 7nm+
Cip2 x 2.73 GHz Mongoose M5
2 x 2.50 GHz Cortex-A76
4 x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G77 MP11
RAM8 Gigabyte
Muatan Dalaman256 GB UFS 3.0
Kamera Utama12 MP, f/1.8, (utama)
64 MP, f/2.0, (telefoto)
12 MP, f/2.2, (sudut ultra lebar)
Kamera Depan10 MP, f/2.2, (utama)
Bateri4300 mAh
(Berwayar/Nirwayar 25W/15W, Nirwayar Berbalik 4.5W)
Sim/Telefoni/NFCDwi SIM Nano
Ketahanan Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas Cap Jari Bawah Skrin
Harga JualanRM4,299

Galaxy Note20 5G ini kami katakan jauh ditinggalkan dengan abangnya adalah kerana saiz dan spesifikasi yang seakan tidak sesuai. Saiznya terlalu besar dan binaannya terlalu “murah”. Ciri dan fungsi pula tidak cukup sifat, kerana berbanding dengan Ultra – banyak pengorbanan yang dilakukan.

Di bawah peranti ini S-Pen telah dipindahkan ke belah kanan yang mana menjadikan penggunaan seakan janggal. Kemudian turut terdapat port bicu audio, lubang mikrofon, serta kekisi pembesar suara. Di atas pula hanya ada lubang mikrofon dan slot kad SIM.

Di bahagian sisi kanan tiada apa-apa, kerana butang kuasa dan butang aras suara diletakkan di bahagian sisi kiri. Rekaan skrin peranti ini adalah jenis rata dan juga berlubang. Menariknya, penggunaan bezel adalah nipis cuma dagu masih kelihatan sedikit tebal. Bercakap mengenai skrin, kualiti skrinnya agak mengejutkan – hebat. Warna cantik, kecerahan yang baik, warna hitam yang cukup gelap serta nilai HDR yang memuaskan mata. Pengalaman menggunakan skrin ini adalah seperti kebanyakan peranti Samsung lain yang menggunakan panel AMOLED. Cuma, perkara yang mengecewakan adalah – ia terhad kepada FHD+ dan 60Hz sahaja. 

Prestasi

Prestasi peranti ini agak hebat, walaupun hanya Exynos 990 seperti awal tahun yang ada pada Galaxy S20 – tetapi pengoptimasian One UI pada peranti ini menjadikan peranti ini rasa pantas dan sentiasa lancar. Skrin 60Hz apabila digunakan, tidak dinafikan bukanlah yang terbaik selepas terbiasa menggunakan peranti yang ada kadar segar semula yang tinggi. Ini menjadikan mata boleh lihat peralihan animasi yang jelas perlahan. Tetapi pada hemat peribadi – penggunaan harian biasa jika animasi yang bergerak perlahan itu tidak dicari, tidak akan sedar pun.

Peranti ini tidak mempunyai masalah dalam melakukan aktiviti multi-tugasan, membuka banyak aplikasi serentak atau juga bermain permua. Bermain permua pula hanya biasa-biasa sahaja, kami tetap rasakan yang peranti yang dijana Snapdragon 865 lebih berkuasa. Cuma sayang sekali, versi Snapdragon semuanya menerima 865+ dan Exynos kekal 990 yang sama pada awal tahun. Sungguhpun begitu, setakat ingin melakukan tugasan harian yang lebih kepada produktiviti – Note20 5G adalah peranti yang baik sekali.

S-Pen pada peranti ini juga ada kekurangannya. Ia tidak menyokong masa pendam 9ms seperti versi Ultra yang mana adalah setaraf iPad. Note20 5G masih menggunakan S-Pen dengan masa pendam yang sama dengan Note10, tetapi itu tidak menjadi masalah besar. Penggunaan S-Pen untuk menandatangani dokumen atau mencatat nota masih berfungsi dengan baik. Samsung turut menyertakan kesan bunyi seakan menulis pada kertas.

S-Pen pada Note20 5G turut mempunyai kawalan gestur baharu seperti Ultra. Walaupun penggunaannya tidak begitu efisien, ia adalah satu fungsi yang seronok untuk digunakan. Sekadar untuk berlagak dengan rakan, acah-acah seakan Harry Potter – ia memberi satu pengalaman yang berlainan. Fungsi DEX pada peranti ini turut menyokong lontaran skrin nirwayar. Ia menyokong mana-mana televisyen pintar yang ada Chromecast atau televisyen yang menggunakan kotak set Android TV. Cuma akan ada notifikasi memberi amaran yang televisyen berkenaan tidak dioptimasikan dengan baik. Ini kerana DEX nirwayar hanya berfungsi dengan baik dengan televisyen terpilih Samsung sahaja.

Skor Tanda Aras

Seperti S20, anda akan menerima skor tanda aras yang lebih kurang sama sahaja. Seperti yang kerap kami katakan, skor tanda aras adalah ujian sekadar memperlihatkan nombor sahaja dan nombor adalah angka semata-mata. Bayangkan, bolehkah anda terima yang skor Geekbench OnePlus Nord lebih tinggi dari Note20 5G? Tidak bukan? Oleh yang demikian, penggunaan di dunia realiti adalah lebih penting.

Skor AnTuTu mencatatkan nilai 523,438 yang mana adalah satu skor yang biasa kita lihat dalam kelas peranti mercu. Skor Geekbench pula adalah 460 untuk satu teras, yang mana ini adalah skor yang rendah berbanding dengan OnePlus Nord. Manakala, skor multi-teras adalah 2,667 iaitu skor yang cukup tinggi.

GPS & Telefoni

GPS pada peranti ini semasa awal penggunaan, lokasi sukar untuk dikunci dan navigasi mengambil masa yang lama untuk mencari arah selok-belok. Ini menyukarkan penggunaan harian kami, sehinggalah kemaskini tiba – walaupun dalam senarai log perubahan tidak menyatakan apa-apa perubahan mengenai GPS ia mempunyai satu perubahan yang baik. GPS berfungsi dengan lebih baik tidak kira telco hijau atau biru.

Panggilan telefon juga adalah baik sekali. Menurut penerima, tiada langsung masalah pendengaran berlaku dan kualiti audio adalah jelas dan terang. Kemudian, kami perasan yang mana-mana peranti 5G mempunyai rangkaian yang lebih baik berbanding 4G ketika panggilan telefon. Begitu juga dengan data mudah alih, rangkaian 4G+ mudah untuk diterima berbanding peranti 4G kerap menerima 4G sahaja.

One UI 2.5

Sejak Samsung memperkenalkan One UI, ia adalah satu perubahan besar dalam sistem operasi Samsung. Dengan trend saiz peranti semakin membesar, One UI ini amat memudahkan pengguna untuk mengendalikan peranti dengan satu tangan. Dalam One UI, Samsung lebih banyak bekerjasama dengan Microsoft berbanding Google. Lihat sahaja, walaupun banyak aplikasi dan perkhidmatan Google tawarkan kepada banyak peranti. Samsung lebih banyak menggunakan aplikasi tersendiri dan juga dari Microsoft seperti OneDrive, Microsoft Office, dan banyak lagi.

Ini menjadikan pengalaman penggunaan One UI sedikit janggal, bagi pengguna yang sudah biasa dengan peranti yang banyak bergantung kepada aplikasi Google. Walaupun boleh muat turun dari Play Store, tetapi ia adalah satu perkara yang leceh kerana ia tidak ditetapkan secara lalai. Walaupun begitu, Samsung jelas cuba mengekalkan hubungan yang akrab dengan Googlem melalui kerjasama seperti kemampuan Google Assistant yang lebih baik, sokongan kemaskini yang pantas dan selama tiga tahun, antara peranti terawal bukan Pixel yang menyokong fungsi transkrib Google serta antara peranti Android terawal bukan Pixel untuk sokongan fungsi Nearby Share – atau lebih dikenali sebagai klon AirDrop.

One UI walaupun antaramuka menggunakan rekaan tersendiri, ia tidak begitu berat berbanding sistem operasi Samsung yang lama. Ia mempunyai penggunaan warna yang mesra pengguna, mudah digunakan, semua disusun rapi dan apa jua tetapan mudah dicari. Fungsi ikonik Samsung seperti Sidebar mereka masih dikekalkan walaupun skrin peranti tidak melengkung. Tidak lupa juga kemampuan Always-On Display yang kekal cantik dan menawan.

Mungkin ia adalah satu perkara yang mustahil untuk lihat Samsung menggunakan rekaan seakan Android asli. Biarlah Samsung dengan One UI dan kekal lama, cuma diharapkan suatu hari nanti – ia akan dioptimasikan dengan lebih baik. Kehebatan One UI ini tidak dinafikan cukup hebat, sehinggakan OnePlus yang sedia terkenal dengan Oxygen OS yang mirip dengan Android asli berubah kepada rekaan yang mirip One UI.

Kamera

Kamera Galaxy Note20 5G mengejutkan adalah tidak mengecewakan. Walaupun peranti ini tertinggal jauh berbanding Ultra, kehebatan kamera Samsung masih dikekalkan lagi. Menggunakan peranti ini untuk tujuan mengambil gambar sahaja pun tidak menjadi masalah. Jika anda persoalkan mengenai zum, zum jauh jika kualiti pecah tiada gunanya. Note20 5G menyokong sehingga 30x, itu pun sudah lebih dari cukup.

Kamera swafoto peranti ini pada hemat kami kelihatan sedikit pudar. Ini kerana Samsung cuba beri hasil yang lebih natural tanpa sebarang pengoptimasian. Lebih menarik jika warnanya dioptimasikan dengan nilai HDR yang sedikit lebih tinggi. Warna yang asas ini kelihatan bosan. Mod potret swafoto sehingga hari ini masih tidak faham, kenapa tiada pengeluar peranti boleh berikan hasil bokeh yang sama dengan atau sekurang-kurangnya setaraf dengan Pixel? Syukur, mod potret peranti ini kelihatan baik sahaja dan memadai.

Seterusnya adalah sampel gambar dari kamera utama. Kita akan lihat mod biasa terlebih dahulu. Hasilnya agak baik dan memuaskan. Ia mempunyai warna yang hidup, butiran yang baik dengan sedikit mod kecantikan. Penggunaan warna pada imej ini, tidak kira mod malam atau biasa, ia masih lihat menarik dan sedap mata memandang. Bukan itu sahaja, mod sudut ultra lebar turut memberikan hasil yang cantik. Kadangkala, cahaya pada mod sudut ultra lebar adalah tidak begitu baik dan hasil adalah sedikit gelap. Gambar zum pula juga lihat baik dan boleh diterima. Selepas Samsung menguji pada S20 Ultra, mereka telah pelajari yang imej zum boleh sahaja dioptimasikan dengan perisian.

Sebagai peminat kamera Google Pixel, ini adalah perbandingan kamera Note20 5G dan Pixel 4a. Kami bandingkan sampel gambar bunga dalam mod potret.

Kanan Note20 5G, Kiri Pixel 4a

Rakaman video pada peranti ini tidak dinafikan adalah menarik dan memuaskan. Warna yang diperlihatkan adalah cantik, kestabilan juga memuaskan. Seperti Galaxy S20, kualiti rakaman video kekal berkualiti tidak kira dari audio, warna, butiran. Untuk ujian yang kami lakukan adalah rakaman video 8K. Dalam keadaan cahaya yang kurang ia masih memaparkan warna yang terang dan butiran yang dipelihara dengan baik. Cuma menjadi masalah adalah membuat rakaman 8K, peranti akan rasa memanas yang melampau.

Audio

Seperti kebanyakan peranti mercu Samsung, Note20 5G turut mempunyai sokongan pembesar suara stereo yang dioptimasikan oleh Dolby Atmos. Kualiti audio peranti mercu Samsung tidak pernah mengecewakan dan sentiasa hebat. Aras suara yang baik sekali dan cukup kuat. Mempunyai keseimbangan bunyi yang enak didengari, lebih-lebih lagi apabila memainkan muzik. Begitu juga pengalaman menonton video, audio mempunyai dentuman yang baik memberikan pengalaman yang mengasyikkan.

Note20 5g adalah peranti Samsung yang tiada port bicu audio – jadi alternatif adalah menggunakan set fon telinga berwayar USB-C atau pun TWS Samsung seperti Galaxy Buds untuk penggunaan ekosistem yang baik.

Bateri

Untuk sebuah peranti Galaxy Note, Note20 5G mempunyai ketahanan bateri yang agak lemah. kami mempunyai harapan yang agak tinggi yang mana mengharapkan boleh mencapai 6-7 jam SOT. Sebaliknya, harapan ini kecundang dengan ketahanan bateri sekitar 5 jam SOT sahaja. Agak lemah, memandangkan peranti ini adalah peranti yang memfokuskan produktiviti. Penggunaan S-Pen, DEX, kamera dan skrin yang cantik ini pasti menggunakan banyak kuasa.

Bateri yang lemah ini dipadankan dengan kuasa pengesacan hanya 25W sahaja. Menariknya, ia menggunakan teknologi USB-PD jadi ia agak memudahkan. Cuma, jika dibandingkan dengan peranti mercu lain dengan harga yang jauh lebih murah – pengecasan 25W ini adalah lemah. Syukur, Samsung mengekalkan fungsi pengecasan nirwayar dan nirwayar berbalik.

Pesaing

Konklusi

Galaxy Note20 5G bukannya untuk semua orang. Ia adalah untuk mereka yang berduit sahaja. Kenapa kami katakan begini? Ini kerana 5G masih lambat lagi akan tiba ke Malaysia, dan lebih baik beli sahaja variasi 4G yang mempunyai penjimatan RM400. Memang benar, variasi 5G akan membantu sedikit dari segi rangkaian – tetapi adakah anda sanggup menghabiskan tambahan RM400 untuk 4G+? Jika anda mempunyai wang lebihan, lebih baik habiskan pada Note20 Ultra 5G sahaja.

Peranti ini bukan sahaja mahal, tetapi terlampau banyak beza dari segi ciri dan fungsi berbanding dengan versi Ultra. Pada hemat kami, jika anda tidak gunakan banyak S-Pen – beli sahaja Galaxy S20+ atau S20 Ultra yang harganya sudah murah dengan kamera yang jauh lebih baik. Jika anda masih inginkan S-Pen, Galaxy Note10+ turut masih boleh dibeli dan harganya juga agak murah.

Galaxy Note20 5G adalah seakan dianaktirikan oleh Samsung dan mereka beri fokus utama kepada Ultra. Walaupun ada baiknya menggunakan peranti ini, tetapi dari segi harga lebih baik cari alternatif lain.

KELEBIHAN KEKURANGAN
  • Skrin kekal cantik, terang dan mempunyai pengalaman yang imersif
  • Kamera yang memuaskan serta berkebolehan merakam 8K
  • Rekaan kelihatan mewah dengan kemasan matte
  • Pembesar suara stereo yang mengasyikkan
  • Ketahanan IP68
  • Pengecasan nirwayar
  • Skrin tiada kadar segar semula tinggi
  • Bahan binaan plastik
  • Harga yang agak mahal
  • Cip pemproses kitar semula
  • Bateri tidak sehebat pesaing
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd