Cari @ Amanz

Huawei telah pun memulakan pembangunan sistem operasi tersendiri secara terbuka sejak tahun lepas, dinamakan HarmonyOS atau dikenali HongMeng OS di China. Selari dengan pengumuman sistem operasi berkenaan, ramai yang sedia menantikan bilakah telefon pintar yang menggunakan sistem operasi berkenaan akan dipasarkan.

Bercakap mengenainya, CEO Huawei kini dilaporkan mengatakan telefon pintar menjalankan sistem operasi HarmonyOS akan hadir seawal 2021 kelak.

Huawei bakal mengadakan acara khusus pembangun, HDC2020 pada minggu ini, yang akan memperlihatkan sejumlah peranti berasaskan HarmonyOS. Namun, telefon pintar berasaskan sistem operasi berkenaan dijangka tidak akan diperlihatkan dan hanya akan hadir pada 2021 kelak.

Huawei sebelum ini telah memulakan pembangunan sistem operasi tersendiri apabila mereka melihat kepada trend kerajaan Amerika Syarikat yang menghalang pelbagai akses kepada pihak mereka. Sistem operasi ini dibangunkan dalam bentuk sumber terbuka, dan dijangka akan turut digunakan pengeluar lain di China pada masa akan datang.

Selari dengan pembangunan sistem operasi tersendiri, Huawei juga turut sedang membangunkan ekosistem Huawei mereka, termasuk kedai aplikasi AppGallery tersendiri.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd