Scratch ialah sebuah bahasa pengaturcaraan yang dibangunkan oleh MIT Media Lab dan digunakan oleh pelbagai institusi pembelajaran kanak-kanak di seluruh dunia, termasuklah China.
Ia dipelajari oleh beratus-ratus juta kanak-kanak di seluruh dunia yang menggunakannya untuk membina pelbagai jenis perisian seperti permainan, animasi, alat pembelajaran dan sebagainya.
Baru-baru ini, ia telah dilaporkan bahawa laman web bahasa pengaturcaraan ini telah diharamkan aksesnya di negara China. Menurut TechCrunch, Scratch diharamkan kerana mengandungi maklumat yang menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat China, seperti pilihan untuk negara-negara seperti Taiwan, Macau dan Hong Kong.
Ini bukanlah sesuatu yang baru. Kerajaan China biasanya akan memastikan bahawa kandungan ataupun maklumat yang disebarkan didalam negara tersebut menuruti beberapa undang-undang kerajaan termasuklah menidakkan kewujudan beberapa negara yang disifatkan sebagai masih berada dibawah naungan negara tersebut.
Di China, Scratch digunakan oleh beberapa juta para pelajar, dimana bahasa pengaturcaraan tersebut digunakan untuk membangunkan beberapa alat pembelajaran sumber terbuka yang mudah difahami.
Setakat ini, ia dilaporkan bahawa akses kepada laman web Scratch dan juga forum pengguna telah disekat aksesnya oleh kerajaan China. Mereka yang sudahpun mempunyai akses kepada perisian Scratch masih boleh menggunakannya secara luar-talian, tetapi sayangnya ini bermakna bahawa pengguna-pengguna bahasa pengaturcaraan ini tidak boleh mengemaskininya selepas ini.