Penyelidik Stanford Mengambil Gambar 3200 Megapixel Pertama Di Dunia

Penyelidik Stanford Mengambil Gambar 3200 Megapixel Pertama Di Dunia

Diterbitkan pada Sep 9, 2020 oleh .

Anda mungkin berfikir bahawa kamera dengan resolusi berpuluh-puluh megapixel sudah cukup besar untuk kegunaan harian. Ini tidak salah, tetapi penyelidik-penyelidik angkasa di Stanford University sedang dalam proses membangunkan kamera digital terbesar di dunia untuk SLAC National Accelerator Laboratory.

Dalam usaha ini, mereka baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka telah mengambil gambar menggunakan sensor kamera tersebut dalam beberapa siri ujian. Gambar-gambar yang diambil dilaporkan bersaiz 3200 megapixel.

Gambar gergasi ini tidak ditunjuk, tetapi dilaporkan bahawa jika ia ditunjukkan pada resolusi penuh, akan memerlukan penggunaan 378 paparan 4K.

Penyelidik-penyelidik tersebut menggunakan 189 sensor CCD (charged-coupled devices) yang mampu mengambil gambar sebuah bola golf dari jarak 24km yang boleh dilihat apabila gambar tersebut dilihat dalam resolusi penuh.

Sensor kamera ini adalah sebahagian daripada sistem pemetaan angkasa yang akan dipasang di teleskop LSST (Legacy Survey of Space and Time) di Chile dalam masa beberapa tahun lagi untuk memeta kawasan-kawasan angkasa lepas dan menyelidik jirim gelap di kawasan bertahun cahaya jaraknya dari muka bumi.

Ujian terakhir binaan penuh kamera ini dikatakan akan bermula pada penghujung tahun hadapan sebelum ia dipasang pada teleskop LSST. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai sensor kamera ini, cara ia dibina dan fungsinya untuk kegunaan kelak, anda boleh layari laman web SLAC National Accelerator Laboratory.



TIPS & ULASAN