Siri-siri kad grafik terbaru daripada NVIDIA dan AMD bakal tiba di pasaran antarabangsa dan tempatan tidak lama lagi, dan bagi mereka yang sedang membeli-belah untuk membina sebuah sistem komputer baru, BenQ Malaysia hari ini mengumumkan ketibaan sebuah paparan skrin baru.

BenQ Mobiuz EX2710 ialah sebuah paparan skrin gaming bersaiz 27 inci yang menggunakan panel IPS dengan resolusi Full HD bersama-sama kadar segar semula 144Hz dengan sokongan untuk beberapa teknologi paparan, termasuklah HDRi dan juga AMD FreeSync Premium yang juga menyokong ciri G-SYNC daripada NVIDIA.

Dari segi sambungan, paparan Mobiuz EX2710 ini dilengkapi dua paparan HDMI 2.0 dan satu palam DisplayPort 1.2. Ia juga mempunyai pembesar suara terbina didalamnya, tetapi jika anda ingin menyambungkan audio ke pembesar suara, ia mempunyai palam audio 3.5mm terbina.

Mobiuz EX2710 ini juga mempunyai sensor B.I.+ yang boleh mengubahsuai kecerahan dan juga suhu warna kepada tahap yang berpatutan secara automatik. Perubahan suhu warna ini juga boleh bergantung kepada penggunaan paparan, seperti menonton siri televisyen, bermain permainan video ataupun bekerja.

Menurut BenQ Malaysia, paparan BenQ Mobiuz EX2710 ini sudahpun berada di pasaran, dan boleh dibeli melalui kedai atas talian BenQ di Lazada ataupun pengedar-pengedar BenQ di Malaysia pada harga RM1499.