Carian
Kamera Pengesan Suhu Tubuh Didapati Memberi Bacaan Palsu – Gambar Muka Menunjukkan Suhu Tubuh Manusia Sebenar
September 9, 2020 Effi Saharudin

Semasa wabak SARS dan MERS menyerang dunia beberapa tahun yang lalu, kerajaan Malaysia membelanjakan jutaan ringgit untuk melengkapkan lapangan terbang dengan kamera pengesan suhu bagi memudahkan proses saringan pengunjung. Kamera termal ini dapat membaca suhu tubuh sekumpulan manusia dengan pantas berbanding menggunakan pembaca suhu inframerah yang popular di Malaysia sekarang.

Tetapi sedikit merisaukan sebuah laporan dari laman IPVM mendapati terdapat kamera mengesan demam ini didapati mengelat dengan memberi bacaan suhu badan palsu. Sistem yang digunakan memaparkan suhu badan normal secara rawak dan bukannya suhu wajah individu sebenar.

Dalam ujian yang dilakukan oleh IPVM, kamera membaca suhu sekeping gambar wajah manusia sebagai suhu badan manusia walaupun sebenarnya sekeping kertas bersuhu lebih rendah. Bacaan suhu tubuh juga masih boleh dibaca oleh sistem walaupun dengan wajah ditutup separuh. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana kamera termal perlu melihat keseluruhan wajah untuk memberikan bacaan.

Mereka mendakwa algoritma kamera dilatih untuk mencari wajah manusia dan kemudian memberikan bacaan tubuh manusia yang normal pada skrin pemantau. Ini adalah amat berbahaya kerana insan yang mungkin benar-benar demam kerana Covid-19 misalnya tidak akan dapat dikesan.

Sebanyak 20 kamera pengesan haba dari China telah diuji dan majoritinya didapati menggunakan algoritma yang memberikan bacaan palsu dan tidak tepat.

Komen