Cari @ Amanz

Kombinasi antara masyarakat dan muzik memang tidak dapat dipisahkan. Boleh kata, muzik adalah tempat luahan perasaan hampir segenap lapisan manusia bagi menggambarkan isi hati sebenar. Dan bila bercakap soal muzik, antara aksesori yang boleh dikaitkan adalah fon telinga. Sebenarnya ada lagi yang lain seperti pembesar suara, tapi fokus penulis adalah pada fon telinga.

Sebabnya, artikel ulasan penulis kali ini adalah mengenai dua fon telinga nirwayar keluaran Sonicgear iaitu SonicGear Earpump TWS 5 Pro dan SonicGear Earpump TWS 7 Hyperbass. Jenama SonicGear rasanya sudah tidak asing lagi dalam industri aksesori audio digital. Ia juga dilihat sering tampil dengan variasi produk berkualiti sebagai sajian buat si peminat tegar.

Berbalik pada topik asal kita,secara kasarnya penulis boleh kata dua-dua memiliki prestasi yang baik, kedua-duanya juga sama bagus. Namun begitu, masing-masing ada pro dan kontra yang tersendiri. Tidak kiralah apa yang menjadi persoalan anda sekarang, penulis akan cuba merungkai setiap satu daripadanya. Berbaloi atau tidak? Mari kita lihat satu per satu.

Tapi tunggu dulu, sebelum anda mula bacaan pada artikel ini. Mesra penulis ingatkan, ulasan ini adalah berdasarkan kepada pendengaran dan pendapat peribadi penulis semata-mata. Selera setiap manusia itu berbeza-beza. Lain orang, lain pengalamannya.

Spesifikasi Ringkas :

Fon Telinga Nirwayar
Nama Model SonicGear Earpump TWS 5 Pro SonicGear Earpump TWS 7 Hyperbass
MikrofonDuaDua
Bateri50mAh50mAh
8Port pengecas Mikro-USBUSB-C
Pengecasan nirwayarTiadaTiada
Sistem operasi Android, iOSAndroid, iOS
Pembantu mayaGoogle AssistantGoogle Assistant
Pad sesentuhYaYa
Rintangan air IPX5IPX4
Storan DalamanTiadaTiada
Pemacu6mm6mm
Bluetooth 5.05.0
Harga JualanRM249RM299

Rekaan :

Dari segi reka bentuk, kedua-dua model jelas sekali hadir dengan rekaan jenis dalam telinga bersama putik berasaskan getah silikon anjal yang boleh muat betul-betul menutup lubang telinga. Keseluruhan tubuh untuk kedua-duanya juga diperbuat daripada bahan berasaskan plastik dengan kemasan yang pusam.

Walaupun begitu, masih terdapat perbezaan yang ketara antara kedua-duanya. Di mana, SonicGear Earpump TWS 5 Pro dilihat memiliki rekaan fizikal bertangkai dengan saiz yang kecil dan ringan. Berbeza pula dengan SonicGear Earpump TWS 7 Hyperbass, rekaannya di sini agak unik dengan rupa bentuk yang membujur. Saiznya juga cukup kecil, sekaligus turut membuatkannya begitu selesa ketika diletakkan ke dalam telinga.

Penulis juga mendapati rekaan yang digunakan pada kedua-dua model dilihat mesra dan juga sesuai untuk wanita bertudung. Kenapa penulis berkata demikian? Hakikatnya, penulis adalah seorang wanita yang bertudung dan ada ketikanya sering berhadapan dengan masalah wayar berselirat bila menggunakan fon telinga berwayar. Tetapi, ini adalah pengalaman peribadi penulis serta tidak semestinya semua orang berhadapan perkara seperti ini.

Mungkin ada di antara anda akan berkata, mengapa penulis tidak menggunakan fon kepala sahaja? Jawapannya, mudah. Ia bergantung kepada keselesaan diri masing-masing. Berbalik semula kepada topik asal kita iaitu soal keselesaan, penulis diberi peluang untuk mencubanya sendiri dan ternyata, ianya memang selesa serta mudah digunakan tanpa sebarang masalah.

Jika diteliti, kedua-duanya turut hadir dengan lampu LED pada bahagian sisi bertujuan untuk pemberitahuan status pengesan dan juga tambatan. Penulis mendapati, lampu ini dilihat akan berkelip warna putih sejurus sahaja fon telinga dikeluarkan daripada pod pengecas sebelum disambungkan (pairing). Seterusnya ia akan bertukar warna merah apabila fon telinga ini disimpan kembali di dalam pod pengecas – bagi menunjukkan status ia sedang dicas. Pengecasan setiap fon telinga adalah melalui sambungan magnetik.

Melihat pada pod pengecasnya pula, kedua-dua fon telinga hadir dengan pod pengecas yang berbentuk bujur. Namun begitu, rekaan pod pengecas SonicGear Earpump TWS 5 Pro dilhat agak lebar berbanding SonicGear Earpump TWS 7 Hyperbass. Manakala, rekaan pod pengecas SonicGear Earpump TWS 7 pula kelihatan lebih tinggi berbanding SonicGear Earpump TWS 5 Pro.

Dalam perbezaan ini masih ada persamaan – di mana, kedua-duanya mempunyai rekaan ringkas serta minimalis dengan kemasan matte dan saiz yang memang mudah untuk dibawa ke mana-mana sahaja. Bukan itu sahaja, turut kelihatan adalah 4 lampu indikator bateri pada bahagian hadapan pod pengecas untuk menunjukkan tahap pengecasan.

Untuk pengecasan pula, SonicGear Earpump TWS 5 Pro menggunakan port pengecasan microUSB. Manakala, SonicGear Earpump TWS 7 Hyperbass pula dilengkapi port pengecasan USB-C. Nampaknya, tiada komen yang boleh diberikan untuk port sambungan pada SonicGear Earpump TWS 7 Hyperbass. Tetapi, untuk SonicGear Earpump TWS 5 Pro rasanya penggunaan microUSB rasanya agak ketinggalan untuk tahun 2020.

Penggunaan Dan Perisian :

Bergerak pula kepada kawalan, kedua-dua fon telinga ini hadir dengan kawalan sesentuh. Penulis mendapati kawalan sesentuhnya berada di tahap memuaskan. Kawalan pada SonicGear Earpump TWS 5 Pro dan SonicGear Earpump TWS 7 Hyperbass adalah sama sahaja. Ia juga menawarkan kawalan yang mudah untuk difahami dan digunakan. Paling penting, andai kata anda terlupa caranya rujuk sahaja panduan manual yang tersedia pada kotak pembungkus. Mudah bukan? Fungsinya padanya adalah sangat asas, iaitu fungsi standard yang ada pada sejumlah fon telinga nirwayar sedia ada.

Melaluinya, terdapat kawalan untuk pemain muzik, melangkau muzik, menaikkan laras suara dan menyeru pembantu maya pilihan. Untuk memainkan / menghentikan muzik yang didengari, sentuh sekali sahaja pada kedua-dua fon telinga sehingga bunyi ‘beep‘. Untuk melangkau pada muzik seterusnya, tap sebanyak tiga kali pada fon telinga sebelah kanan. Manakala, untuk melangkau pada lagu sebelumnya pula, tap sebanyak tiga kali pada fon telinga sebelah kiri. Untuk menaikkan laras suara pula, dwi tap pada fon telinga sebelah kanan dan dwi tap pada fon sebelah kiri pula akan menurunkan laras suara. Pembantu maya pula boleh diseru dengan mengetuk dan menahan dalam masa sama pada salah satu fon telinga dengan kiraan sekitar 3 saat.

Kedua-dua model ini menyokong tambatan menerusi bluetooth 5.0. Ketika tambatan berjaya, nama aksesori akan muncul dalam senarai (boleh lihat pada contoh gambar). Kemudian melaluinya juga, anda boleh melihat tahap bateri pada fon telinga tanpa memerlukan aplikasi tambahan, selain menetapkan tetapan untuk penggunaan pada fon telinga seperti menjawab / meletak panggilan telefon. Baiklah, alang-alang bercakap soal panggilan telefon, kawalannya juga adalah mudah. Di mana, anda hanya perlu sentuh/tap sekali ketika ingin menjawab / meletakkan panggilan dan tiga kali sentuhan pula untuk menolak panggilan yang masuk.

Selepas mengujinya dengan lebih lanjut, penulis mendapati penggunaannya berada di tahap memuaskan. Seperti yang penulis katakan di perenggan atas, kawalan sesentuhnya terasa memuaskan dengan prestasi yang responsif. Sistem pad sesentuh yang digunakan memudahkan kami mendengar muzik tanpa perlu menyentuh telefon pintar. Namun begitu, tidak dalam semua keadaan. Anda juga perlu tahu bahawa memuaskan di sini tidak bermaksud semuanya sempurna. Sebabnya, tidak ada peranti yang sempurna. Walaupun kecil, pasti ada kekurangannya.

Perlu diakui, ia dilihat berfungsi dengan baik dan lancar, kecuali ketika penulis menjeda dan memainkan semula lagu. Terdapat sedikit lengah masa berlaku di sini. Begitu juga pada fungsi tambatannya, di mana ia mengambil sedikit masa untuk peranti pintar mengesan aksesori. Kadang kala terdapat juga masalah dalam sambungan, namun tiada pula masalah ditemui untuk sambungan pada komputer.

Kualiti Audio

Setelah bercerita panjang lebar, kini tiba untuk kualiti audio pula. Apa yang ingin penulis katakan di sini, adalah lebih baik sekiranya anda elakkan memakai fon telinga sebelum / ketika tambatan dilakukan. Maksudnya di sini, pastikan tambatan pada fon telinga berjaya dilakukan, kemudian barulah anda menggunakannya di telinga. Bukan apa, apabila tambatan berjaya dilakukan ia akan mengeluarkan satu bunyi yang kuat dan bingit sehingga menimbulkan rasa kurang selesa di telinga. Penulis sendiri sudah beberapa kali terkena kerana sering terlupa mengenainya. Mungkin faktor usia. Tetapi usah risau, kerana keadaan ini hanya berlaku ketika tambatan dibuat sahaja. Bukanlah ketika mendengar muzik secara keseluruhan.

Untuk kualiti audionya, ia dilihat baik dengan pengalaman pendengaran yang memuaskan untuk hiburan semua. Pada hemat penulis, dengan harga ditawarkan dilihat setanding dengan mutu kualiti yang dipersembahkan. Ketika mengujinya, penulis mendapati kedua-dua model berupaya memberikan kualiti audio yang jelas untuk didengar meskipun pada tahap suara paling rendah. Seterusnya, pengalaman bass yang dihasilkan juga baik dengan dentuman yang bertenaga, kuat dan mantap. Boleh dikatakan mendengar beberapa lagu bersama dentuman bass yang tinggi boleh dikategorikan sebagai okay. Malah, alunan suara penyanyi juga jelas untuk didengari.

Sebagai perbandingan, di antara kedua-dua model ini sejujurnya penulis berpendapat SonicGear Earpump TWS 7 Hyperbass berupaya menyembunyikan bunyi luaran dengan lebih efektif walaupun tanpa sistem pembatalan hingar aktif  (active noise cancellation) terbina. Ia membolehkan penulis mendengar muzik yang dimainkan tanpa halangan dengan kesan pengurangan bunyi yang baik. Sehinggakan ada satu ketika, rakan-rakan di pejabat berbual dengan kuat, namun ia langsung tidak disedari oleh penulis. Cuma sayangnya, kedua-dua model tidak mempunyai kebolehan untuk menghentikan muzik secara automatik ketika fon telinga ditanggalkan dan memainkan semula apabila dipakai.

Bateri

Menurut apa yang tertulis pada kotak pembungkus, SonicGear Earpump TWS 5 Pro dan SonicGear Earpump TWS 7 Hyperbass mampu bertahan sehingga 8 jam dengan penggunaan audio pada tahap 50%. Bagaimanapun, penulis mencubanya dengan penggunaan tahap audio sekitar 70% – 80% dan mampu mendapatkan ketahanan sekitar 6 jam dengan sekali caj. Untuk pengecasan semula pula, kedua-duanya turut mengambil masa sekitar 1 jam untuk dicas sepenuhnya.

Kesimpulan

Dengan harga jualan yang ditawarkan sebegini, penulis tidak nafikan bahawa SonicGear Earpump TWS 5 Pro dan SonicGear Earpump TWS 7 Hyperbass boleh dikatakan antara fon telinga yang berbaloi untuk dimiliki. Selain kualiti, rekaannya juga kelihatan baik. Tapi, andai kata anda ingin lebih berbaloi. Hasil semakan kami menerusi laman rasmi SonicGear Official Store di Shopee, kini anda boleh mendapatkan kedua-dua model ini dengan harga yang lebih murah. Jadi, jangan lepaskan peluang keemasan ini!

KELEBIHANKEKURANGAN
1. Rekaan menarik dan kecil
2. Pemakaian selesa untuk penggunaan sepanjang hari
3. Ketahanan bateri memuaskan
4. Kualiti audio yang seimbang
5. Ketahanan kalis air
1. Menggunakan port mikro USB
2. Tiada sokongan pengecasan nirwayar

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd