Cari @ Amanz

Samsung Galaxy S20 FE Diperlihatkan Secara Tidak Sengaja Pada Laman Web Rasmi

Link Copied!

Samsung Galaxy S20 FE, salah sebuah model peranti pintar yang hangat diperkatakan pada ketika ini. Sehingga ke hari ini, tarikh pelancarannya masih lagi menjadi teka-teki. Namun, maklumat berkaitannya semakin kerap membanjiri ruang media sosial.

Dalam perkembangan terkini, terdapat beberapa sumber mengatakan peranti ini telah diperlihatkan secara tidak sengaja melalui laman web rasmi Samsung Filipina. Ia secara tidak langsung mengesahkan sejumlah butiran pada peranti termasuklah ruang storan dalaman, sokongan dwi-sim dan pilihan warna yang bakal ditawarkan. Pada dasarnya, maklumat yang diperoleh ini adalah perkongsian daripada @evleaks menerusi laman Twitter miliknya.

Memetik maklumat tertiris, peranti ini dilihat muncul dengan kod model G780F dan akan hadir dalam dua pilihan warna iaitu Cloud Navy serta Cloud Lavender. Jika diteliti, kemasan warna ini kelihatan seakan sama dengan salah satu imej pengolokan tertiris sebelum ini – yang memperlihatkan sejumlah pilihan warna pada peranti. Di samping itu, peranti ini juga dilihat akan mempunyai ruang storan sebesar 128GB.

Dalam hantaran yang sama, imej tertiris turut memperlihatkan rekaan pada peranti yang hadir dengan paparan berlubang pada panel hadapan. Kemudian, panel belakangnya pula terdapat tiga lensa utama yang disusun secara menegak bersama satu flash.

Bagaimanapun, hasil tinjauan kami mendapati hantaran berkenaan telah diturunkan daripada laman web tersebut. Dengan adanya ketirisan seperti ini, kita boleh menyasarkan peranti ini berkemungkinan muncul tidak lagi.


Komen ()