Cari @ Amanz

Samsung Galaxy Z Fold2 akan mula dipasarkan di Malaysia pada 25 September selepas dilancarkan secara rasmi hanya beberapa minggu yang lalu. Di Malaysia ia boleh anda miliki pada harga RM7999 sebuah yang sebenarnya lebih mampu milik berbanding Fold generasi pertama.

Selepas sempat menggunakan Fold2 selama beberapa jam semalam kami merasakan terdapat beberapa kekurangan yang perlu diperbaiki oleh pihak Samsung sebelum melancarkan iterasi ketiga. Artikel ini akan menyentuh 10 perkara yang kami rasakan mengecewakan pada Samsung Galaxy Fold2.

Sekiranya anda ingin mencari alasan yang baik untuk membelinya pula, terlebih dahulu kami ada menerbitkan artikel 10 perkara menarik yang boleh anda akses menerusi pautan di bawah.

1. Masih Tiada Kemampuan Kalis Air

Telefon pintar pertama dengan kemampuan kalis air ialah Xperia Z yang dilancarkan pada tahu 2013. Selepas itu sokongan kemampuan kalis air serta debu mula menjadi perkara perlu pada peranti kelas mercu. Maka adalah amat mengecewakan apabila Samsung mengatakan Fold2 tidak mempunyai sebarang kemampuan kalis air dan debu.

Mungkin anda mengatakan dengan wujudnya engsel yang besar adalah tidak masuk akan untuk mengharap kemampuan kali air pada Fold2. Tetapi kami tidak bersetuju kerana Motorola Razr dan Razr 5G yang dilancarkan pagi semalam mempunyai kemampuan kalis percikan air.

Motorola bukan lagi nama besar dengan pegangan pasaran yang besar tetapi mampu memberikan kemampuan kalis air pada peranti mereka walaupun bukan di tahap IP68. Kami merasakan Samsung sebagai pengeluar peranti nombor satu duani seharusnya menawarkan peranti berharga RM7999 dengan sekurang-kurangnya kalis percikan juga.

2. Skrin Hadapan Terlalu Runcing

Skrin hadapan membesar dari 4.6″ ke 6.23″ pada Fold2. Satu perbezaan saiz yang amat drastik bagi membolehkan ia memaparkan lebih banyak kandungan. Tidak dapat dinafikan terdapat ruang paparan yang lebih besar tahun ini tetapi direncatkan oleh skrin yang masih terlalu runcing.

Note20 Ultra 5G adalah lebih lebar berbanding Fold2. Akibatnya proses menaip mesej dan emel masih lagi tidak selesa pada peranti ini. Ketika artikel ini ditulis, Fold2 ialah satu-satunya telefon pintar di dunia yang menggunakan skrin dengan nisbah 25:9. Dengan kata lain ketinggian skrin adalah hampir tiga kali ganda lebar.

Kami menghadapi masalah menggunakan Xperia 5 tahun lalu kerana peranti menggunakan skrin 21:9. Skrin hadapan Fold2 adalah lebih sukar untuk digunakan terutamanya dengan sebelah tangan.

3. Bateri Yang Agak Kecil

Dengan dwi-skrin yang besar (7.6″ + 6.23″) lengkap dengan sokongan kadar segar semula 120Hz, sokongan rangkaian 5G dan pemproses kelas mercu, Fold2 dilengkapi dengan bateri yang kami rasakan tidak sekufu. Bateri 4500 mAh Fold mempunyai kapasiti yang sama dengan Note20 Ultra 5G dan lebih kecil berbanding bateri S20 Ultra 5G dengan 5000 mAh.

Dwi-bateri Fold2 kami rasakan perlu lebih besar supaya berkadar terus dengan saiz skrin peranti. Sebagai perbandingan Apple iPad Mini 2019 dengan skrin 7.9″ dilengkapi bateri sebesar 5124 mAh. Jauh lebih besar sedangkan Apple ialah syarikat yang mempunyai reputasi lokek kapasiti bateri.

Tambah mengecewakan bateri ini sekadar menyokong pengecasan pantas 25W berbanding 45W pada S20 Ultra 5G. Sebagai peranti paling premium, paling mercu dan paling mahal dikeluarkan oleh Samsung tahun ini, Fold2 sepatutnya ULTRA juga pada teknologi baterinya.

4. Tiada Bicu Audio 3.5mm

Kami menyedari Samsung tidak lagi memberikan bicu audio pada peranti mercu mereka sejak Note10+ setahun lalu. Alasan yang diberikan ialah bagi menambah kapasiti bateri dan menyertakan lebih banyak fungsi-fungsi tambahan yang diminta oleh pengguna.

Pada siri S dan Note kami boleh menerima alasan ini kerana kekangan saiz. Pada Fold2 kami sukar untuk menerimanya kerana ia adalah peranti yang bersaiz besar. Terdapat banyak lokasi bicu audio 3.5mm boleh diletakkan.

Apple boleh dipersalahkan kerana memulakan trend membuang bicu audio pada telefon pintar sebelum memberanikan diri membuangnya pada iPad Pro. Ini ialah keberanian yang tidak dipinta serta langsung tidak siapa peduli. Bicu audio pada hemat kami perlu diberikan jika terdapat ruang secukupnya pada tablet misalnya.

5. Masih Terdapat Alur Lipatan Pada Skrin

Lihat dan baca semula kesemua ulasan Fold yang diterbitkan tahun lalu. Isu utama yang dibangkitkan majoriti pengulas ialah alur lipatan skrin yang ketara. Pada waktu tersebut lapisan plastik di atas permukaan skrin dijadikan kambing hitam mengapa alur kelihatan jelas apabila skrin dibuka.

Tahun ini lapisan plastik telah digantikan dengan UTG yang lebih tahan lasak. Ramai berharap isu alur lipatan tidak akan berulang tetapi maaf ia berulang untuk kali kedua. Sekiranya kandungan dengan latar belakang hitam digunakan ia tidak begitu ketara tetapi pada laman web berwarna terang (seperti Amanz) ia jelas sehingga sedikit mengganggu.

6.Spesifikasi Kamera Tidak Cukup Mercu

Berikut adalah spesifikasi kamera untuk tiga peranti mercu Samsung untuk tahun 2020 dengan harga jualannya di Malaysia. Nampak tidak kekurangannya di sini?

Samsung Galaxy S20 Ultra 5G – 108+64+12+3D TOF Megapixel, Zum optikal 4X, Zum digital 100X – (RM4999)

Samsung Galaxy Note20 Ultra 5G – 108+12+12+ Laser Megapixel, Zum Optikal 5X, Zum digital 50X – (RM5199)

Samsung Galaxy Z Fold2 – 12+12+12 Megapixel, Zum optikal 2X,zum digital 10X – (RM7999)

7. Bonggol Kamera Yang Besar

Bonggol kamera ialah trend paling kami benci sepanjang 2020 kerana ia sebenarnya boleh dielakkan dengan menghasilkan peranti yang sedikit lebih tebal dari biasa. Fold2 yang sudahpun tebal dan besar sepatutnya tidak mempunyai bonggol yang terlalu ketara.

Ia tidak akan menjadi isu jika Fold2 tidak perlu digunakan pada permukaan meja. Tetapi Fold2 dipasarkan dengan ciri Flex Mode yang memerlukan ia diletakkan di atas meja. Ketika sesi pandang pertama kami menyedari peranti terjungkit di atas meja akibat kewujudan bonggol. Tambah sadis ialah kerangka rasmi yang dihasilkan oleh Samsung tidak mengurangkan ketebalan bonggol ini.

8. Antaramuka Kamera Yang Kurang Ergonomik

Fold2 hadir dengan ciri unik menggunakan kamera dalam Flex Mode, menggunakan kamera utama untuk swafoto dan Auto Framing ketika mengambil video. Kesemuanya kami kategorikan sebagai fungsi unik yang tidak ditawarkan pada peranti lain.

Namun begitu proses mengakses kesemua ciri-ciri menarik ini terganggu kerana antaramuka aplikasi kamera yang tidak mesra pengguna. Mahu gunakan kamera utama sebagai kamera swafoto? Ia hanya boleh digunakan jika peranti ditutup, kamera dilancarkan dan kemudian menekan sebuah teks kecil di bucu atas sebelah kanan yang kami rasakan agak tersorok.

Mahu gunakan Auto Tracking? Anda perlu menekan butang kecil berwarna putih yang sukar dilihat pada viewfinder. Kami hanya menyedari elemen antaramuka yang tersorok ini dengan bantuan petugas Samsung. Antaramuka yang baik memudahkan proses mencari ciri baharu tanpa perlunya bantuan luar. Oleh itu kami kecewa dengan antaramuka kamera Fold2.

9.Tiada Slot Kad Mikro SD

Di Malaysia hanya model dengan storan 256GB ditawarkan. Saiz storan ini pada hemat kami adalah agak kecil bagi sebuah peranti yang menyasarkan golongan profesional. Tambahan lagi dengan harga jualan yang tinggi, storan yang lebih besar sepatutnya diberikan. Ini tidak menjadi isu sekiranya terdapat sokongan kad mikro SD.

Tetapi Fold2 tidak menyokong kad mikro SD. Mengapa ini dilakukan adalah masih misteri seperti Segitiga Bermuda. Sekali lagi ingin kami katakan peranti premium sepatutnya mempunyai konfigurasi serta pilihan tanpa kompromi.

Sokongan kad mikro SD diberikan kepada S20 Ultra 5G dan Note20 Ultra 5G. Tiada sebab mengapa Fold2 yang dipasarkan sebagai peranti yang lebih premium tidak diberikan kemampuan yang sama.

10. Harga Yang Masih Di Luar Kemampuan

Samsung Galaxy Z Fold2 5G

Dengan harga RM7999, impian kami melihat telefon skrin boleh-lipat mampu milik masih belum menjadi realiti. Tahun ini peranti skrin boleh-lipat paling mampu milik hanya “serendah” RM5888. Untuk menjadikan rekaan ini komersial dan digunakan secara meluas, harga jualannya perlu lebih munasabah.

Sebelum menerima tekanan dari Amerika Syarikat, Huawei menjanjikan peranti skrin boleh-lipat pada harga mampu milik. Tetapi impian ini kami yakin telah terkubur selama-lamanya. Tiada pengeluar lain setakat ini mampu memberikan janji yang sama.

Terdapat ura-ura sebelum ini Fold Lite akan dilancarkan di India tetapi nampaknya ini adalah kesilapan dalam kod nama. Berdasarkan pengurangan harga di antara Fold dan Fold2, mungkin harga peranti skrin boleh-lipat hanya akan menjadi mampu milik dalam masa lima tahun.

Jadi adakah bersetuju dengan senarai ini ataupun anda merasakan masanya telah tiba untuk peranti skrin boleh-lipat untuk digunakan secara meluas dengan Fold2 menjadi peranti pertama milik anda?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd