Carian
Huawei Watch GT 2 Pro Kini Rasmi Dengan Kerangka Seramik Dan Bateri 14 Hari
September 11, 2020 Effi Saharudin

Jam tangan pintar Huawei mempunyai satu kelebihan berbanding Apple dan Sasmung kerana ketahanan baterinya yang cukup panjang. Semalam Huawei Watch GT 2 Pro telah dilancarkan secara rasmi dan meneruskan tradisi ketahanan bateri sehingga 14 hari.

Dari segi rekaan ia sekali lagi mengekalkan skrin bulat 1.39″ OLED dengan sokongan sesentuh, menggunakan cip Kirin A1, memori 32MB, storan 4GB dan bateri yang bertahan selama 14 hari. Ini akan berkurangan ke hanya 30 jam dengan GPS terpasang sepanjang masa. Pengecasan secara nirwayar boleh dilakukan sekiranya perlu.

Sistem operasi LiteOS digunakan yang membolehkan ia ditambat pada peranti Android dan iOS. Tubuh badannya pula adalah dari bahan seramik dengan kaca hadapan dari nilam. Sensor yang diberikan ialah nadi, GPS, accelerometer, giroskop, magnet, dan tekanan udara.

Seperti GT 2, jam tangan ini boleh mengesan 100 aktiviti sukan secara automatik dan mengesan kepekatan oksigen di dalam darah. Dua butang sisi pada bahagian kanan digunakan untuk melakukan kawalan. Akhir sekali jam tangan ini mempunyai kemampuan kalis air sehingga 5ATM.

Di Eropah Huawei GT 2 Pro dipasarkan pada harga €329 (~RM1618), manakala versi Classic dengan tali jam kulit pula dijual pada harga €349 (~RM1716).

Komen