Cari @ Amanz

Huawei Matebook tidak dinafikan adalah salah satu barisan produk komputer riba Huawei yang terbaik. Ia menawarkan pilihan premium dan mampu milik dari pelbagai model dan harga yang bersaing sengit dengan pesaing. Dengan isu Huawei yang ada masalah dalam pengeluar telefon pintar, produk komputer mungkin masa hadapan mereka.

Terkini mereka telah mengemaskini barisan Huawei Matebook dengan edisi 2020. Model pertama adalah Huawei Matebook X 2020, iaitu model komputer riba paling premium mereka. Kali ini mereka menggunakan skrin baharu yang digelar Infinite FullView Display yang kelihatan lebih nirbingkai, kerana bezel besi kurang digunakan dan panel kaca digunakan secara lebih meluas – secara tidak langsung menawarkan paparan nirbah skrin-ke-badan 90%. Saiz skrin adalah 13.8-inci resolusi 3000 x 2000, 278 ppi, sRGB 100% dan kecerahan 400 nits. Panel skrin adalah jenis LTPS dan komputer riba ini kekal ringan dengan berat bawah 1KG.

Papan kekunci adalah saiz penuh, pad sesentuh yang lebih luas, menyokong tindak balas haptik, serta pembesar suara bawah kekunci Shift. Terdapat dua mikrofon terbina, pemngumbas cap jari yang diintegrasi pada butang kuasa, kekunci ikonik untuk kamera pop-naik serta rekaan nirkipas yang menggunakan sisyem penyejukan seakan telefon pintar. Matebook X 2020 ini dijana dengan cip Intel Core i7-10510U, dipadankan dengan memori sehingga 16GB RAM dan storan dalaman mencapai 512GB SSD. Ia juga menyokong rangkaian WiFi 6, bateri 42Wh dengan ketahanan 9 jam, serta port sambungan 2x USB-C dan bicu audio 3.5mm.

Untuk MateBook 14″, seperti namanya ia adalah komputer riba dengan saiz skrin 14-inci resolusi 2160 x 1440. Turut menggunakan rekaan sama, iaitu nisbah skrin-ke-badan 90% dan sRGB 100%. Tetapi kecerahan skrin terhad kepada 300 nits sahaja. Dari segi dalaman, ia dijana dengan cip pemprosesan sehingga AMD Ryzen 7 4800H, pilihan memori mencapai 16GB RAM serta SSD sehingga 512GB. Bateri adalah lebih besar dengan kapasiti 56Wh dengan ketahanan 10 jam. Untuk port sambungan, ia menyertalan 2x USB-A 3.2, 1x USB-C, 1x HDMI dan bicu audio 3.5mm.

Cip grafik yang digunakan adalah AMD Radeon RX Vega 7 dan ia tidak menawarkan sokongan WiFi 6.

Kedua-dua komputer riba ini masih menjalankan sistem operasi Windows 10 serta ditawarkan secara global. Tetapi masih tiada informasi sama ada ia akan dilancarkan di Malaysia ataupun tidak. Harga jualan adalah bermula dari €849 untuk MateBook 14″ dan €1599 sebagai harga permulaan untuk MateBook X.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd