Cari @ Amanz

Huawei FreeBuds Pro akhirnya dilancarkan secara rasmi semalam sebagai jawapan Huawei kepada AirPods Pro. Dari segi rekaan ia mengambil inspirasi dari fon telinga yang dikeluarkan Apple. Ia adalah dari jenis fon dalam telinga bertangkai dan pod pengecas yang berbentuk bujur.

Seperti majoriti fon telinga mercu, FreeBuds Pro dilengkapi sistem pembatalan hingar aktif yang dapat mengurangkan bunyi sehingga 40dB. Pengguna boleh mengawal mainan muzik dengan mencubit tangkai dan melakukan tatalan pada bahagian sisinya.

Menurut Huawei, fon telinga ini boleh beroperasi selama 7 jam berterusan atau sehingga 30 jam dengan bantuan pod pengecas jika ANC dimatikan. Sekiranya diaktifkan pula ia berkurangan ke 4.5/20 jam. Ini meletakkan hayat penggunaan FreeBuds Pro lebih lama berbanding AirPods Pro. Pengecasan menerusi port USB-C dan nirwayar juga boleh dilakukan.

Tambatan dilakukan menerusi bluetooth 5.2 bagi memastikan sambungan yang stabil. Antara ciri menarik yang disokong ialah mengubah salah satu fon telinga menjadi mikrofon yang boleh dipegang dan sistem yang menganalisa telinga untuk memilih saiz putik silikon yang paling sesuai untuk pemakai.

Di China Huawei FreeBuds Pro dijual pada harga RMB 1099 (~RM668) untuk versi pengecasan berwayar dan RMB 1199 (~RM728) untuk versi pengecasan secara nirwayar dalam warna putih, hitam dan perak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd