Beberapa Pengguna Pixel 3 Melaporkan Masalah Bateri Menggelembung – Punca Dari Pengecasan Nirwayar

Beberapa Pengguna Pixel 3 Melaporkan Masalah Bateri Menggelembung – Punca Dari Pengecasan Nirwayar

Diterbitkan pada Sep 11, 2020 oleh .

Google Pixel 3 dan Pixel 3 XL adalah peranti mercu Google pada dua tahun lepas. Ia adalah antara peranti Pixel pertama yang menyokong kalis air, pengecasan nirwayar dan Pixel 3 XL dikecam ramai kerana takuk yang hodoh. Walaupun begitu, peranti ini masih menerima sokongan dari Google, seperti kemaskini Android 11. Di Malaysia, peranti sudah murah dijual kerana banyak variasi refurbished telah dijual.

Terkini, ramai pengguna Pixel 3 dan Pixel 3 XL melaporkan masalah bateri menggelembung. Majoriti yang melaporkan masalah ini adalah mereka yang kerap menggunakan pengecasan nirwayar serta kerangka pelindung. Mereka tidak sedar peranti mereka menggelembung kerana memakai kerangka dan hanya sedar selepas pengecasan nirwayar tidak berfungsi. Menurut sumber, Pixel 3 yang langsung tidak menggunakan pengecasan nirwayar tidak menghadapi masalah ini. Masalah ini juga menyebabkan peranti tidak boleh dicas, walaupun secara berwayar.

Perkara ini menjadi masalah besar kerana yang pertama sekali ia adalah bahaya dan jika bateri tersebut terdedah dan tercucuk ia boleh terbakar. Kedua, secara tidak langsung pengguna peranti ini tidak lagi dapat menikmati perlindungan kalis air dan debu. Syukur, walaupun peranti sudah tiada jaminan – Google menawarkan penukaran peranti secara percuma. Anda pengguna Pixel 3? Adakah masalah ini berlaku pada peranti anda?



TIPS & ULASAN