Carian
Peranti Misteri Realme Dengan Snapdragon 460 Ditemui Di Geekbench
September 11, 2020 Amy Maizuraa

Baru-baru ini, Realme telah melancarkan dua telefon pintar mampu-milik terbaru di bawah Realme C menerusi pengenalan Realme C12 dan Realme C15. Dalam perkembangan terkini, terdapat dakwaan mengatakan Realme dalam perancangan untuk sebuah lagi peranti pintar mampu-milik.

Menurut maklumat tertiris, sebuah peranti misteri Realme dengan kod nama RM2101 telah ditemui di laman Geekbench. Penyenaraian mendedahkan sejumlah spesifikasi padanya – termasuklah mungkin dijana cip Snapdragon 460, memori sebesar 6GB RAM dan menggunakan sistem operasi Android 10 terkini. Di samping itu, peranti ini juga dilihat berjaya menjaringkan sebanyak 253 mata untuk ujian satu teras dan 1,248 mata untuk ujian pelbagai teras.

Buat masa ini, hanya itu sahaja maklumat yang diperoleh. Desas-desus mengatakan peranti ini berkemungkinan akan dilancarkan sebagai Realme C17 kelak. Tapi seperti biasa, maklumat dikongsi masih di peringkat ura-ura dan kita mungkin akan mendengarnya lebih lanjut di kemudian hari.

Komen