Carian
ZOTAC Mengacahkan Tanda Harga RTX 3080 Trinity Untuk Pasaran Tempatan – Berharga Kurang Dari RM3500
September 11, 2020 Nazrin

Siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3000 akan mula tiba di pasaran pada pertengahan dan penghujung bulan ini. Dalam laporan kami sebelum ini, ketiga-tiga kad yang dilancarkan, iaitu NVIDIA GeForce RTX 3070, NVIDIA GeForce RTX 3080 dan NVIDIA GeForce RTX 3090 semuanya akan hadir dengan prestasi yang lebih baik berbanding dengan NVIDIA GeForce RTX 2080Ti.

ZOTAC, sebuah jenama pembuat kad grafik yang terkemuka telah mengumumkan di laman Facebook ZOTAC Malaysia untuk mengatakan bahawa salah satu model kad grafik terbaru mereka, iaitu ZOTAC GeForce RTX 3080 Trinity akan memasuki pasaran tempatan tidak lama lagi.

Kad grafik ini hadir dengan sistem penyejukan tiga kipas yang dinamakan IceStorm 2.0 dan juga rangka muka depan dan belakang yang diperbuat daripada logam. Ia juga dilengkapi dengan sistem pencahayaan RGB SPECTRA 2.0 yang boleh diubahsuai melalui perisian yang dibekalkan.

Menggunakan kuasa sebanyak 320W, ZOTAC mengesyorkan pengguna menggunakan bekalan kuasa 750W untuk menguasakan kad grafik ini untuk pengalaman gaming pada resolusi 4K yang mengagumkan, digabungkan dengan teknologi-teknologi grafik terbaru NVIDIA seperti NVIDIA RTX 2.0, Deep Learning Super Sampling 2.0 (DLSS 2.0) dan sebagainya.

Menurut pengumuman dari laman Facebook ZOTAC Malaysia, kad grafik ZOTAC GeForce RTX 3080 Trinity ini akan tiba di pasaran tempatan tidak lama lagi pada harga yang tidak akan melebihi RM3500.

Jika anda sedang merancang untuk membangunkan sebuah komputer gaming yang berkuasa, mungkin kad grafik ini boleh menjadi salah satu daripada komponen pilihan anda.

Komen