Cari @ Amanz

Pengguna dilihat semakin maju dalam penggunaan teknologi digital. Susulan itu, pembelian secara atas talian mencatatkan peningkatan mendadak lebih cepat daripada jangkaan. Tahun lepas, Bain & Company meramalkan bahawa bilangan pengguna digital di rantau Asia Tenggara akan mencapai jumlah sebanyak 310,000,000 pada tahun 2025 kelak.

Bagaimanapun memetik kajian terbaru bersama Facebok yang bertajuk “Digital Consumers of Tomorrow, Here Today“, ramalan tersebut meleset. Sebaliknya, apa yang berlaku angka sasaran tersebut akan dicapai pada penghujung tahun ini dan dijangka mencecah lebih jutaan angka lagi pada tahun-tahun akan datang. Fenomena ini dijangka akan terus meningkat dengan kadar purata lebih tinggi pada tahun 2025.

Kajian juga mendapati Malaysia merupakan antara negara dengan pertumbuhan tertinggi sebanyak 83%. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 48% pengguna dikatakan beralih ke pembelian secara atas talian sekitar tahun lalu. Sebanyak 46% daripada rakyat Malaysia merupakan pembeli berstatus tinggi dengan purata anggaran $60 (~RM250). Manakala 34% pula terdiri daripada pengguna yang berbelanja secara sederhana dengan purata anggaran nilai perbelanjaan antara $40 – $60 (~RM166 – RM250). Selebihnya pula adalah pengguna yang berbelanja dengan kadar minimum yang mencatatkan angka sebanyak 20% – dengan purata perbelanjaan di bawah $40 (~<RM166).

Selain itu, kajian turut menyatakan pengguna di Malaysia tidak hanya berbelanja secara atas talian dengan banyak. Sebaliknya, mereka turut berbelanja pelbagai jenis barangan di platform berkenaan – mencapai peningkatan sebanyak 40% dalam tempoh satu tahun. Di Malaysia juga, jualan bahan mentah secara atas talian turut mencatatkan peningkatan tertinggi pada tahun ini.

Difahamkan juga, pengguna di Malaysia secara lazimnya mempunyai tabiat gemar menyemak lebih daripada 4 hingga 8 halaman jualan terlebih dahulu, sebelum membuat sebarang pembelian. Ia berikutan pengguna sentiasa mencari dan mengharapkan sesuatu yang terbaik. Boleh dikatakan juga, hampir 67% daripada pengguna di negara ini sebenarnya tidak tahu mengenai produk yang mereka inginkan sebelum membuat pembelian. Sementara, 66% lagi daripada pengguna belajar mengenainya melalui media sosial dan membuat perbandingan terlebih dahulu sebelum membeli.

Laporan yang sama turut mendapati bahawa sebanyak AS$8.7 bilion dana teroka dan ekuiti peribadi tidak dibelanjakan pada penghujung tahun 2019. Ia sekaligus membuka peluang kepada sesetengah pihak untuk mendapatkan lebih banyak dana. Selain, bersaing pada skala yang besar di rantau ini terutamanya dalam segmen penjagaan kesihatan, pendidikan dan hiburan secara atas talian.

Sekadar makluman, kajian ini bertujuan mengkaji  perkembangan pesat ekonomi digital dan bagaimana ia boleh memberi kesan terhadap pemasaran e-dagang di Asia Tenggara pada masa hadapan kelak. Kajian ini melibatkan lebih kurang 16,5000 pengguna digital dari enam buah negara di rantau Asia negara – termasuklah Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd