ByteDance Mungkin Tidak Sempat Menjual TikTok Sebelum 20 September

ByteDance Mungkin Tidak Sempat Menjual TikTok Sebelum 20 September

Diterbitkan pada Sep 11, 2020 oleh .

Usaha ByteDance untuk menjual pegangan mereka terhadap TikTok mungkin menghadapi cabaran yang agak sukar kerana undang-undang baru yang diperkenalkan oleh kerajaan China.

ByteDance sebelum ini dilaporkan bakal menjual pegangan mereka terhadap TikTok kepada Microsoft dan Walmart untuk mengelakkan perkhidmatan tersebut daripada ditutup dan disekat di Amerika Syarikat pada 20 September kelak.

Bloomberg baru-baru ini melaporkan bahawa gabungan beberapa faktor di luar kawalan ByteDance akan menyebabkan penjualan perkhidmatan video pendek tersebut akan menghadapi kegagalan yang cukup besar untuk mereka.

Pertama ialah undang-undang mengenai penjualan teknologi syarikat China kepada syarikat negara luar. Ia menyertakan halangan mengeksport teknologi berkaitan “perkongsian persembahan kandungan berdasarkan kepada analisa data”.

Undang-undang ini, digabungkan dengan undang-undang Amerika Syarikat yang menyatakan bahawa pihak kerajaan perlu menilai sebarang perjanjian dengan syarikat negara luar akan menyebabkan kelewatan dalam sebarang perjanjian yang sedang dimeterai.

Oleh kerana kedua-dua faktor ini, ia dijangka bahawa TikTok akan ditutup di Amerika Syarikat sebelum penjualan kepada mana-mana syarikat Amerika Syarikat disahkan.

Kerajaan Amerika Syarikat juga telah mengesahkan bahawa mereka tidak akan memberikan sebarang lanjutan kepada pengharaman aplikasi TikTok jika sebuah perjanjian tidak sempat dimeterai sebelum tarikh 20 September 2020.

Bloomberg turut melaporkan bahawa bukan pihak ByteDance sahaja yang sedang berusaha untuk mengeluarkan sebuah perjanjian awal dengan cepat, tetapi juga telah menerima kerjasama dari Microsoft dan Oracle yang juga dikatakan berminat untuk mengambil-alih TikTok.

ByteDance kini mempunyai 10 ke 11 hari sahaja sebelum TikTok diharamkan di pasaran Amerika Syarikat. Samada syarikat tersebut sempat untuk menyelamatkan TikTok daripada terkubur di pasaran Amerika, sama-sama kita tunggu dan lihat.



TIPS & ULASAN