Cari @ Amanz

Ketika ini, kita boleh lihat terdapatnya pelbagai pilihan jam tangan pintar yang dijual di pasaran. Terdapat bermacam-macam jenis jenama jam tangan pintar yang ada dan masing-masing mempunyai tarikan tersendiri. Salah satu model terkini yang kita ada adalah Samsung Galaxy Watch3. Ini adalah jam pintar terbaru daripada Samsung yang dilancarkan di acara Samsung Galaxy Unpacked 2020 tempoh hari.

Penulis diberi peluang untuk mencubanya sendiri, dan dalam artikel ini penulis akan berkongsi kepada anda apakah yang menarik pada jam tangan pintar ini. Mampukah ia menetapkan tanda aras baru untuk peranti boleh-pakai Samsung? Penulis akan cuba merungkainya dalam artikel ini. Untuk makluman semua, jam tangan pintar ini hadir dalam dua pilihan saiz berbeza.

Pertama adalah Samsung Galaxy Watch3 dalam model 41mm dan seterusnya, Samsung Galaxy Watch3 dalam model 45mm untuk mereka yang mahukan saiz lebih besar. Kebiasaannya, saiz tali jam yang besar ini sering menjadi pilihan lelaki. Saiz yang kecil pula lebih sesuai digunakan oleh wanita. Namun begitu, masih terdapat juga segelintir lelaki yang lebih menyukai saiz jam dengan diameter yang kecil. Dalam erti kata yang lain, bergantung kepada keselesaan masing-masing.

Selain daripada saiz tali jam, saiz skrin dan bateri juga berbeza antara kedua-dua model ini. Untuk model 41mm, skrinnya bersaiz 1.2-inci dengan bateri sebesar 247mAh. Manakala, model lebih besar 45mm pula bersaiz 1.4-inci bersama bateri sebesar 340mAh. Akan tetapi, untuk artikel ini penulis akan mengulas lebih lanjut untuk model 41mm.

Spesifikasi Ringkas Peranti :

Samsung Galaxy Watch3
JenisJam Tangan Pintar
Paparan1.2″ /1.4″ SAMOLED 360×360 Pixel
Pemproses1.15 GHz Dua Teras Exynos 9110
RAM1 Gigabyte
Muatan Dalaman 8 Gigabyte
Bateri 274 / 340 mAh
SIM / Telefonie-SIM / Panggilan melalui tambatan bluetooth
SensorPengimbas Nadi, A-GPS, Barometer,
Girometer,Accelerometer
NFCYa
Infra Merah Tiada
Tahap KetahananIP68 / 5 ATM
Diameter46.2 x 45 x 11.1 mm
WarnaMystic Bronze , Mystic Silver
Harga JualanRM1,699 (41mm) / RM1,799 (45mm)

Rekaan :

Sebelum pergi lebih jauh, mula-mula penulis akan menyentuh mengenai rekaan jam tangan pintar ini terlebih dahulu. Permukaannya di sini menggunakan skrin berbentuk bulat dengan penggunaan panel Super AMOLED. Paparan ini mempunyai resolusi 360 x 360 piksel, selain turut menggunakan Corning Gorilla Glass DX sebagai pelindungan utama. Jam pintar ini juga turut hadir dengan sokongan sesentuh secara terbina yang membolehkan pengguna menyentuh skrin untuk melakukan navigasi aplikasi pada jam tangan pintar ini. Melaluinya, pengguna boleh menatalnya ke atas, bawah, kanan dan juga kiri.

Beralih ke bahagian belakang, terdapatnya sensor denyutan nadi bersama plat magnetik untuk pengecasan. Seterusnya, pada sisi kanan terdapat pula dua butang fizikal berbentuk bulan dengan tekstur yang agak licin. Kedua-dua butang ini digunakan untuk navigasi back dan home. Menekan dengan sedikit lama pada butang kedua ini akan membolehkan Sistem pembantu maya dengan kecerdasan buatan Bixby diaktifkan. Pada hemat penulis, butang kawalan fizikal seperti ini juga adalah amat diperlukan kerana pengguna tidak lagi perlu menggunakan skrin sesentuh ketika berpeluh mahupun berenang.

Seterusnya, tubuh jam tangan pintar ini diperbuat daripada bahan keluli tahan karat. Kualiti binaannya juga kukuh dan ringan dalam masa yang sama. Perlu diakui, rekaan jam pintar ini memang kelihatan cantik namun terlalu mudah dikotori oleh kesan cap jari apabila disentuh pada permukaannya. Akan tetapi, perkara itu tidak menghilangkan nilai premium padanya. Samsung mengatakan, jam tangan pintar ini adalah 14% lebih nipis dan 15% lebih ringan jika nak dibandingkan dengan pendahulunya.

Tali jam yang disertakan pada unit ulasan ini adalah bahan berasaskan kulit. Jujur penulis katakan, memakai jam tangan pintar ini memang terasa selesa walaupun ia digunakan dalam jangka masa yang panjang. Untuk ketahanan, Samsung Galaxy Watch3 mempunyai perlindungan kalis air dan debu IP68 dan sokongan ketahanan sehingga 5ATM yang boleh dibawa berenang. Ketika anda berenang, ia juga boleh mengira kalori yang terbakar serta merekodkan pusingan yang telah anda habiskan. Tapi, tenang tunggu dulu! Penulis ingin bertanyakan kepada anda. Adakah anda perasan ada perkara menarik pada model kali ini?

Cuba perhatikan betul-betul dan ya! Sistem bezel berputar kini kembali digunakan pada model kali ini. Jujur penulis katakan, kewujudan semula bezel berputar ini memang sangat dialu-alukan. Bukan apa, bezel ini sebenarnya lebih memudahkan penggunaan. Melaluinya, pengguna hanya perlu menggerakkan sahaja roda bezel pada muka jam ini untuk melakukan akses pada aplikasi yang ada. Ia dilihat lebih mudah untuk digunakan, berbanding perlu menyentuh pada skrin yang mana kemudiannya akan mengotorkan permukaan ini dengan cap jari.

Secara peribadi, penulis akui rekaan pada jam pintar ini sememangnya menarik perhatian. Ianya nampak kemas, minimalis dan sesuai untuk dipadankan dengan pelbagai gaya. Ditambah pula dengan kemasan warna menarik seperti Mystic Bronze seperti unit ulasan yang diterima oleh penulis ini. Kemasannya di sini nampak begitu mewah dengan daya tarikan tersendiri terutamanya dalam kalangan para wanita. Tetapi, andai kata mungkin warna ini bukan pilihan anda. Terdapat satu lagi pilihan warna lain yang boleh dipilih iaitu Mystic Silver.

Untuk bahagian paparannya, penulis boleh katakan paparan pada jam tangan pintar ini dilihat terang serta mudah untuk dibaca dalam semua keadaan. Warna padanya juga nampak menakjubkan. Penulis juga tidak menemui sebarang masalah ketika menggunakannya di bawah cahaya matahari yang terang. Jadi, percayalah rasanya pengguna tidak perlu risau akan aspek kecerahan. Dalam erti kata mudah, memakainya ketika bersiar-siar atau berjalan-jalan di luar mahupun bersuka tiada masalah langsung.

Antaramuka, Sistem & Penggunaan :

Untuk spesifikasi, Samsung Galaxy Watch3 menggunakan cip pemproses Exynos 9110 pada kelajuan 1.15GHz. Ini adalah cip yang sama boleh kita temui pada Galaxy Watch Active2 dan juga Gear Sport sebelum ini. Bagaimanapun, ia dilihat menerima penambahbaikan daripada segi sokongan memorinya. Di mana, RAM yang digunakan untuk kali ini adalah sebesar 1GB. Manakala, storan dalamannya pula sebesar 8GB.

Seterusnya, jam tangan pintar ini menggunakan sistem operasi tersendiri daripada Samsung iaitu Tizen OS 5.5. Melaluinya juga, anda boleh memasang sejumlah aplikasi dan muka jam tambahan yang boleh didapati menerusi Galaxy Store. Penulis perlu akui, tiada sebarang masalah ditemui sepanjang ulasan ini dibuat. Sistem operasi Tizen OS 5.5 yang digunakan pada jam jangan pintar ini terasa lancar dan stabil sahaja. Malahan, penulis juga tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan jam tangan pintar ini kerana ianya begitu mudah untuk dikendali.

Dari segi kawalan, putaran bezel secara arah lawan jam akan membolehkan anda mengakses sejumlah aplikasi. Ia termasuklah notifikasi daripada sejumlah aplikasi termasuk Facebook, Instagram dan banyak lagi. Menariknya lagi, anda bukan sahaja boleh melihat teks pada notifikasi tersebut semata-mata. Sebaliknya, notifikasi tersebut boleh dibalas menerusi jam tangan pintar ini.

Berbalik pada kawalan, putaran mengikut arah jam pula akan membawakan anda akses ke sejumlah aplikasi dan fungsi lain. Antaranya seperti kawalan pemain muzik, penjejak kesihatan dan sebagainya. Jam pintar ini juga didatangkan dengan pembesar suara dan mikrofon yang membolehkan pengguna berinteraksi dengan Bixby serta menjawab / membuat panggilan daripada jam tangan pintar ini.

Kualiti panggilannya adalah sangat jelas, khususnya di dalam ruangan yang agak tertutup. Namun berbeza pula dengan penggunaan di kawasan terbuka, kualitinya dilihat kurang memuaskan. Bukan itu sahaja, bunyi audionya yang kuat dan nyaring juga menimbulkan rasa kurang senang penulis untuk menggunakannya di kawasan yang terbuka.

Seterusnya, antara muka pada jam tangan pintar ini juga sangat mudah difahami. Melaluinya, pengguna boleh memilih pelbagai jenis muka jam dengan pilihan gaya paparan menarik. Setiap satu daripadanya mempunyai fokus masing-masing dan semuanya adalah bergantung pada jenis antara muka jam yang dipilih oleh pengguna. Sekiranya anda bertanyakan kepada penulis, antara muka mana yang lebih selesa digunakan.

Secara peribadi, sepanjang membuat ulasan ini penulis begitu menyukai gaya paparan Digital Dashboard. Hal ini adalah kerana, kebanyakan maklumat yang penulis perlukan dipaparkan dalam satu skrin sahaja. Melaluinya, penulis berupaya untuk melihat melihat tarikh dan masa, jumlah tapak harian, kiraan nadi, tahap bateri dan suhu keadaan semasa. Apabila kesemua maklumat ini dipaparkan dalam satu skrin, boleh dikatakan segala terasa mudah. Cumanya, untuk maklumat yang lebih mendalam penulis akan membuka setiap satu persatu aplikasi.

Seperti yang penulis katakan tadi, jam tangan pintar ini hadir dengan pelbagai fungsi untuk pemantauan kecergasan. Jam ini berupaya mengesan pelbagai data kesihatan termasuklah memantau tekanan darah, denyutan jantung, ciri pengesanan kualiti tidur dan sebagainya. Menjadikannya sebagai teman ketika bersenam, boleh dikatakan satu langkah yang baik. Di mana, ia juga boleh digunakan untuk aktiviti berlari, berlari, berjalan, mendaki, berbasikal dan banyak lagi.

Kesemua data yang melibatkan aktiviti sukan seperti dinyatakan tadi akan dipaparkan dalam satu bentuk info yang cukup padat. Selain daripada itu, pengguna juga boleh mendengar muzik pada jam tangan ini. Kualiti audio boleh dikatakan pada tahap yang memuaskan.

Seterusnya, jam tangan pintar ini juga turut hadir dengan pengesanan jatuh bagi memberikan bantuan kecemasan automatik apabila pemakai terjatuh. Fungsi ini turut boleh ditemui pada jam tangan pintar Apple Watch S4 dan S5 sebelum ini. Fungsi padanya juga adalah sama di mana, apabila ia mengesan pemakai jatuh, sistem SOS akan menghantar mesej kepada individu yang didaftarkan di dalam senarai nombor kecemasan yang dimasukkan menerusi aplikasi Galaxy Wearable. Seterusnya, terdapat juga satu lagi ciri yang penting buat golongan wanita iaitu pemantauan kiraan kitaran haid.

Aplikasi Sambungan :

Untuk aplikasi sambungan, terdapat dua aplikasi yang digunakan iaitu Galaxy Wearable (Samsung Gear) dan Samsung Health. Apa yang membezakan antara kedua-duanya adalah aplikasi Galaxy Wearable (Samsung Gear) membolehkan pengguna menyemak sejumlah fungsi pada jam ini menerusi paparan peranti pintar. Seterusnya, aplikasi Samsung Health pula adalah tempat di mana membolehkan pengguna menyemak segala info berkaitan kecergasan. Dengan adanya aplikasi ini, ia menjadikan segala data pada jam tangan pintar dapat diselarikan pada peranti pintar.

Dengan adanya sokongan fungsi bluetooth, anda boleh menyambungkan jam pintar ini secara terus ke peranti pintar. Tidak kira sama ada anda menyambungnya ke peranti Android mahupun iPhone. Ia boleh digunakan pada peranti pintar yang menggunakan sistem operasi Android 5.0 dan iOS 9 ke atas. Akan tetapi, untuk proses tambatan yang paling pantas dan mudah, anda disarankan untuk menggunakan peranti Samsung. Sebabnya, anda tidak perlu lagi muat-turut multi aplikasi untuk melihat keseluruhan fungsi pada jam ini.

Bateri :

Untuk bateri pula, seperti yang penulis katakan di awal-awal perenggan tadi. Model ini hadir dengan bateri sebesar 247mAh yang mana boleh dikategorikan sebagai agak kecil. Dengan penggunaan penuh atau berterusan termasuklah mengaktifkan pelbagai notifikasi, penggunaan untuk menerima atau membuat panggilan dan sejumlah lagi fungsi lain, ia dilihat sekadar bertahan maksimum sekitar satu hari setengah. Pada hemat kami, ia masih boleh dikategorikan baik bagi sebuah jam tangan pintar. Untuk pengecasan semula, jam ini mengambil masa sekitar 2 jam untuk penuh dan menggunakan pengecas magnetik yang melekat ketika proses pengecasan.

Kesimpulan :

Apa yang dapat penulis simpulkan di sini, Samsung Galaxy Watch3 adalah sebuah model kemas kini daripada pendahulunya. Penggunaan semula sistem bezel berputar adalah sangat dialu-alukan. Ditambah pula dengan rekaannya yang kemas dan memikat menjadikan jam tangan pintar ini sesuai digayakan dalam pelbagai situasi.

Namun begitu, dari segi dalaman pula tidak banyak yang berubah cumanya peningkatan pada sokongan memori dan sejumlah fungsi tambahan baru. Cip yang digunakan pula masih sama seperti pendahulunya. Bagi yang berminat, Samsung Galaxy Watch 3 boleh didapati pada harga RM1,699 (model 41mm) dan RM1,799 (model 45mm).

KELEBIHANKEKURANGAN
1. Rekaan menarik, bergaya
2. Perisian yang menarik
3. Sistem bezel berputar baik dalam setiap kawalan
4. Fungsi penjejak kesihatan yang komprehensif
1. Ketahanan bateri kurang memuaskan
2. Pengecasan semula perlahan
3. Fungsi ECG masih tidak boleh digunakan di Malaysia.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd