Cari @ Amanz

AirPods Pro adalah TWS dari Apple yang paling menarik dan boleh dikatakan hebat. Ia mempunyai sokongan perlindungan kalis air, pengecasan nirwayar, tambatan pantas, pembatalan hingar aktif dan juga akan datang audio spatial yang akan memberikan pengalaman yang lebih imersif. Harga jualan rasmi adalah RM1099, tetapi ia kini mudah sahaja untuk didapatkan pada harga bawah RM900.

Masalah AirPods Pro ini pada hemat saya satu sahaja, ia berwarna putih dan warna putih Apple biasanya mudah kotor dan lama kelamaan menjadi sedikit kekuningan. Bagi melindunginya, kerangka pelindung atau pelekat vinil harus digunakan. Terkini Razer telah hadir dengan Razer THS Case, iaitu kerangka pelindung untuk AirPods Pro. Ia hanyalah sejenis kerangka silikon TPU biasa sahaja dengan goresan logo ular Razer. Ia turut ditawarkan dalam tiga warna iaitu merah jambu, hitam dan putih.

Setiap kerangka ini boleh dibasuh, jika ia sudah kotor dan akan kelihatan seakan baru. Kemudian, ia turut menyertakan carabiner bagi memudahkan AirPods Pro disangkut pada beg. Lubang untuk port pengeasan dan lampu LED turut tersedia dan bahan binaan kerangka ini tidak akan mempunyai masalah dengan pengecasan nirwayar. Harga jualan Razer THS Case ini adalah RMB199, iaitu sekitar RM120.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd