8 Perkara Menarik Dalam EMUI 11

8 Perkara Menarik Dalam EMUI 11

Diterbitkan pada Sep 17, 2020 oleh .

EMUI adalah sistem operasi tersendiri dari Huawei yang dibina berasaskan Android. Untuk beberapa versi EMUI namanya mengikut versi Android yang digunakan, seperti EMUI 9 dan EMUI 10 adalah berdasarkan Android 9 dan Android 10. Tetapi pada EMUI 11, Huawei telah mengambils atu langkah ke belakang – iaitu dengan mengekalkan dengan asas Android 10 sahaja dan tidak menggunakan Android 11. Walau bagaimanapun, mereka akan cuba memasukkan beberapa elemen Android 11 bagi memastikan peranti stabil dan boleh memuaskan hati pengguna.

EMUI 11 adalah sistem operasi mereka yang terkini. Sistem operasi ini adalah satu langkah persediaan ke HarmonyOS yang mana mana-mana peranti EMUI 11 layak dikemaskini kepada HarmonyOS. Cuma tidak pasti adakah semua atau yang terpilih sahaja. Disebabkan itu juga, EMUI 11 ini hanya membawakan kemaksini kecil sahaja – kebanyakannya lebih kepada animasi, ikonografi dan sedikit kemaskini kepada aplikasi sistem.

1. Always-On Display Serba Baharu

Always-On Display atau AOD adalah fungsi yang memastikan skrin sentiasa hidup apabila peranti sudah dikunci. Ia akan memaparkan masa, jam, notifikasi, kalendar dan banyak lagi. Dalam kemaskini EMUI 11, AOD ini dikemaskini dengan menawarkan beberapa rekaan baru iaitu Mondrian. Huawei turut menawarkan rekaan beranimasi lain seperti Paradox dan juga Memphis. Huawei turut akhirnya mengikut jejak langkah Samsung dengan menawarkan AOD yang boleh diubahsuai dengan imej tersendiri.

Satu AOD di dalam peranti ini yang memaparkan imej haiwan, ia adalah animasi interaktif yang mana akan memandang pengguna apabila peranti diangkat melihat notifikasi. Walaupun bukan satu perkara yang besar, tetapi memeriahkan skrin ketika peranti dikunci adalah sesuatu yang baik.

Semasa mencuba menggunakan fungsi ini, lebih-lebih lagi animasi haiwan yang disediakan – ia hanya berfungsi kadangkala sahaja. Tetapi pilihan lain yang ditawarkan agak unik dan rasa seronok untuk digunakan.

2. Aplikasi Galeri Dengan Rekaan Baharu

Huawei turut mengikut jejak langkah iOS dengan mengemaskini aplikasi galeri mereka untuk pengalaman penggunaan yang lebih menarik. Dengan kawalan gestur dua cari memicit, paparan galeri dari bulanan boleh berubah menjadi paparan berbentuk album bersaiz 4:3. Ia kelihatan lebih kemas dan semakin mudah digunakan. Turut terdapat bahagian album yang membenarkan pengguna menyusun gambar-gambar mereka.

Tidak dinafikan yang ia adalah sesuatu ciri yang menarik. Tetapi ia masih tidak setaraf iOS lagi dan tidak memberikan pengalaman penggunaan yang memuaskan.

3. Ikon Hidup

Menjadikan EMUI 11 lebih meriah adalah dengan memperkenalkan Live Icons, iaitu ikonografi yang lebih hidup. Beberapa ikon terpilih dalam EMUI 11 ini mempunyai animasi yang tersendiri setiap kami pengguna berinteraksi dengannya. Contohnya ikon 5G yang dari warna kelabu, apabila ditekan akan ada warna putih memenuhkan ikon tersebut. Atau juga ikon audio yang dari berwarna putih mempunyai pergerakan yang kemas ke warna biru dan mempunyai palang bagi memberi indikasi audio kini senyap.

Walau bagaimanapun, tidak semua ikon hidup ini akan diberikan semasa EMUI 11 diterima, tetapi akan dikemaksini secara berperingkat. Apabila kami juga menekan ikon-ikon yang ada fungsi ini, ia terasa berbeza dan menjadikan peranti rasa unik. Walaupun begitu, agak mengecewakan kerana tidak semua dapat diuji.

4. Nada Dering Yang Selari Dengan Getaran

Nada dering adalah bunyi muzik yang dimainkan ketika panggilan telefon diterima. Siapa sangka, Huawei turut ingin mengemaskini bahagian nada dering mereka dalam EMUI 11 dengan memberikan satu pengalaman yang unik. Nada dering yang dimainkan pada peranti EMUI 11 akan mempunyai kesan getaran yang mengikut rentak nada dering yang pengguna tetapkan.

Dalam percubaan ringkas kami, kami hanya dapat gunakan nada dering yang sudah tersedia di dalam peranti. Ia memang berfungsi seperti yang diberitahu. Cuma ini adalah bergantung kepada citarasa pengguna. Ada yang menggemarkan getaran yang statik atau corak getaran ringkas. Corak getaran pada mod ini dilihat agak lembut dan tidak begitu kuat.

5. Smart Multi-Window

Seperti yang diperkenalkan pada Huawei Mate XS dan tablet-tablet MatePad mereka, Huawei mempunyai fungsi multi-tugasan yang menarik. Iaitu akses pintas ke aplikasi di sisi pelancar pada peranti. Apabila ditatal dan membuka satu aplikasi, ia akan dibuka dalam mod tetingkap. Ia juga boleh dikecilkan dan dikembalikan ke mod asal. Lebih memudahkan adalah, tetingkap ini akan terpapar dalam mod terapung dan lokasi serta saiznya boleh diubah-ubah.

Kebanyakan peranti Android lain hanya memfokuskan kepada mod multi-tetingkap, tetapi Huawei melakukan sesuatu yang ramai akan gemar kerana fungsi yang eksklusif pada tablet kini ada pada telefon. Cuma, jika dibandingkan dengan Samsung, Huawei agak terlambat.

Walaupun unit Mate 30 yang kami gunakan ini adalah versi beta, mod ini boleh berfungsi dalam keadaan yang baik sekali.

6. Multi Screen Collaboration 3.0

Melalui Huawei Share, semua sedia maklum yang jika menggunakan komputer riba Huawei dan telefon Huawei – ia boleh digunakan secara rentas platform. Antaranya boleh berkongsi fail, membuka aplikasi telefon pada komputer dan banyak lagi. Dalam kemaskini ini, pengguna kini boleh menjalankan banyak aplikasi serentak. Contohnya, pengguna boleh melancarkan Netflix, kemudian menggunakan WhatsApp dan sambil itu membuka Instagram terus pada komputer.

Huawei turut akan menambah sokongan yang lebih banyak, yang mana akan menandingi Samsung kelak – yang mana peranti Samsung dan perisian Your Phone boleh melancarkan enam aplikasi serentak. Melalui kemaskini ini juga, peranti turut boleh dijadikan sebagai pengimbas teks untuk mengimbas dokumen dan kemudian menyalin teks tersebut ke komputer.

Seperti Apple, tetapi sedikit lebih leceh – EMUI 11 membenarkan pengguna menjawab panggilan video pada komputer melalui MeeTime. Pengguna boleh menggunakan kamera dan mikrofon pada komputer untuk menerima panggilan. Buat masa ini, kesemua ciri ini terhad kepada komputer riba Huawei dan kemaskini ini turut akan hadir secara berperingkat dan kami tidak dapa mengujinya.

7. MeeTime

Aplikasi MeeTime kini dijadikan sebagai aplikasi yang berasingan. Tetapi sambil itu ia masih terbina dalam aplikasi telefoni. Ini adalah seperti Google Duo, yang mana sesetengah peranti akan mempunyai Google Duo terbina pada aplikasi telefoni – tetapi sambil itu ikon aplikasi masih boleh diakses melalui pelancar atau talam aplikasi.

Tambahan mengenai MeeTime, kelak mana-mana produk yang ada sokongan HiLife seperti kamera dari jenama luar – turut boleh dijadikan kamera untuk menjaawab atau membuat panggilan MeeTime.

MeeTime turut akan diintegrasikan dengan aplikasi pihak ketiga lain, contoh di China pengguna boleh membuat panggilan video sambil melayari aplikasi VMall untuk membeli belah sambil meminta pendapat dari rakan. Ia juga kelak akan dikemaskini untuk sokongan rentas peranti, yang mana MeeTime boleh membuat panggilan audio melalui jam tangan pintar Huawei.

8. Aplikasi Nota

Aplikasi nota pada EMUI 11 turut dikemaskini agar lebih mirip dengan aplikasi seperti Google Lens. Aplikasi ini kini menyokong pengimbasan nota, yang mana boleh mengimbas teks pada buku atau apa jua dokumen – dan semua teks boleh disalin dan ditampal terus pada aplikasi nota. Dalam ujian ringkas kami, ia benar-benar berfungsi dengan baik dan membaca setiap teks dengan tepat sekali.

Tetapi misal kata dalam situasi di dalam kelas, tulisan pensyarah sukar untuk di baca jadi pengimbas ini tidak boleh berfungsi dengan baik. Aplikasi nota ini kini boleh mengambil gambar terus dan akan dioptimasikan untuk dibaca kelak. Ini berguna jika anda seorang pelajar yang duduk jauh di belakang.

Jujur kami katakan, fungsi ini agak lewat tiba ke peranti Huawei. Aplikasi Google Lens sudah boleh mengimbas teks dan turut menghasilkan audio untuk sistem membaca. Serta aplikasi seperti Google Keep, sudah lama boleh menambah gambar.


Agak kecewa apa yang Huawei tawarkan ini adalah satu kemaskini yang sangat kecil sahaja. Tidak banyak perubahan ketara seperti dari segi visual dan lain-lain. Tetapi apa yang pasti di sini adalah, Huawei cuba sedaya upaya mereka untuk menjadikan EMUI 11 masih boleh digunakan oleh pengguna.

Apa yang Huawei lakukan pada EMUI 11 ini sebenarnya adalah membuang segala benda yang berkaitan dengan Google, kecuali kod asas Android iaitu AOSP dan aplikasi yang berasaskan APK. Huawei telah mula mengintegrasikan HMS Core mereka secara lebih mendalam. Menurut wakil Huawei, semua aplikasi yang ada dalam App Gallery termasuk Maybank, Shopee, Lazada dan banyak lagi aplikasi tempatan sudah bersedia dengan sokongan HarmonyOS.

Dengan kata lain, dengan hanya menggunakan aplikasi Clone Phone pengguna boleh memindahkan data peranti Android Huawei ke peranti HarmonyOS Huawei dengan mudah. Kesemua aplikasi yang ada HMS Core akan selamat, tetapi aplikasi Android yang bergantung kepada GMS atau tiada dalam App Gallery akan terkorban.


TIPS & ULASAN