Cari @ Amanz

Apple hari ini telah mengadakan sebuah acara khas, sekaligus berkongsi sejumlah perkara yang memfokuskan dua peranti mereka, iaitu Apple Watch dan juga iPad.

Untuk Apple Watch, gergasi perkomputeran berkenaan telah memperkenalkan Apple Watch Series 6 – generasi terbaru jam tangan pintar yang hadir dengan sejumlah pilihan warna menarik, termasuk pilihan warna merah melalui “Product Red”.

Apple Watch Series 6 hadir dengan kebolehan untuk memeriksa kadar oksigen pada darah (SpO2) pengguna. Ia menggunakan algoritma tersendiri bersama-sama dengan pencahayaan infrared. Dengan penambahan data terbaru ini, ia terus memudahkan pengguna untuk kekal sihat dan mengetahui keadaan badan semasa menggunakan jam tangan pintar ini.

Apple Watch Series 6 dijana dengan cip S6 dwi-teras berasaskan kepada Apple A13 Bionic dan dioptimasikan untuk jam tangan pintar.

Apple turut mengatakan ia menawarkan skrin yang lebih ditambah-baik – yang lebih cerah ketika dibawah cahaya matahari. Sejumlah pilihan Watch Face turut ditambah bersama-sama dengan siri jam tangan pintar baharu ini, untuk memudahkan lagi pengguna menyesuaikan penggunaan jam berdasarkan gaya hidup mereka. Antara Watch Face baru adalah termasuk Memoji Face, GMT Face, dan beberapa yang lain.

Apple turut memperkenalkan Solo Loop bersama jam tangan pintar Apple Watch Series 6 yang tidak memerlukan anda menghubungkan dua tali berbeza seperti kebiasaan. Ini sekaligus menjadikannya lebih selesa untuk dipakai untuk sejumlah aktiviti tanpa perlu risau ia akan tertanggal dan sebagainya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd