Microsoft Mendapati Pusat Data Dasar Laut Adalah Lebih Praktikal Dan Menjimatkan Tenaga

Microsoft Mendapati Pusat Data Dasar Laut Adalah Lebih Praktikal Dan Menjimatkan Tenaga

Diterbitkan pada Sep 16, 2020 oleh .

Dua tahun yang lalu Microsoft memulakan ujian pusat data dasar laut di bawah Project Natick. Pusat data berbentuk silinder yang diberi nama Northern Isles telah akhirnya dikeluarkan dari dasar laut Scotland selepas dua tahun dan nampaknya mengesahkan jangkaan awal Microsoft.

Pusat data dasar laut didapati lebih praktikal kerana tidak memerlukan bangunan yang besar untuk menempatkan kesemua pelayan yang diperlukan. Ia juga boleh ditempatkan lebih hampir kepada penempatan yang memerlukannya. Walaupun terletak di dasar laut, Northern Isles beroperasi lebih lama tanpa perlu menjalani proses penyelenggaraan.

Gas nadir yang diisi di dalam tiub mengurangkan kerosakan akibat lembapan udara dan kerana tiada akses kepada manusia ia tidak terganggu oleh getaran dan campur tangan pekerja.

Tetapi kejayaan sebenar ialah Northern Isles tidak memerlukan sistem penyejukan yang mahal seperti pusat data konvensional. Aliran air sejuk sekitar kepulauan Orkney memberikan sistem penyejukan percuma sepanjang dua tahun pusat data beroperasi. Malahan sumber tenaga Northern Isles adalah lestari kerana diambil dari ladang kincir udara yang terletak berhampiran.

Project Natick – Microsoft

Project Natick masih lagi sekadar ujian pada skala kecil dengan hanya mengandungi 864 pelayan yang diletakkan di dalam 12 rak. Microsoft berjaya membuktikan pusat data seperti ini tidak memerlukan penyelenggaraan yang kerap oleh manusia tetapi menyelesaikan masalah memerlukan ruang yang besar dan kos penyejukan yang tinggi. Langkah seterusnya ialah meningkatkan skala Northern Isles bagi menyokong sistem awanan Microsoft Azure di masa hadapan.



TIPS & ULASAN