Carian
Spesifikasi Samsung Wireless Charger Trio Akhirnya Diumumkan – Turut Menyokong iPhone
September 18, 2020 Amy Maizuraa

Sebelum ini Samsung telah memperkenalkan Wireless Charger Trio yang berupaya mengecas sehingga tiga peranti secara nirwayar secara serentak. Namun begitu, ketika itu Samsung sekadar memaklumkan berhubung pengenalannya tanpa berkongsi maklumat mengenai spesifikasinya.

Samsung Wireless Charging Trio

Terkini, aksesori ini telah muncul di laman rasmi Samsung Eropah dan Korea Selatan dengan sejumlah spesifikasi yang disertakan padanya. Menurut penyenaraian, aksesori ini hadir dengan enam lapisan gegelung dan ia berupaya mengecas pantas dengan output 9W.

Ia boleh digunakan oleh pelbagai model Samsung Galaxy yang bermula daripada siri Samsung Galaxy 6 dan ke atas – termasuklah peranti boleh lipat daripada Samsung. Ia juga boleh digunakan pada peranti boleh-pakai Samsung dan hadir dengan pemegang magnet untuk meletakkan jam pintar. Sistem lampu LED terbina memaparkan warna merah ketika peranti sedang dicaj dan hijau selepas usainya proses.

Pada masa sama, ia juga menyokong format piawaian Qi dengan pengecasan sehingga 5W, selain juga boleh digunakan pada peranti pintar Apple dengan output sehingga 7.5W. Sebagai pilihan, Samsung Wireless Charger Trio hadir dalam dua warna menarik iaitu Black dan White. Buat masa ini, aksesori ini dilihat hanya muncul di laman rasmi Samsung Eropah dan Korea Selatan sahaja. Belum diketahui, bilakah ianya akan ditawarkan secara meluas.

Komen