Carian
Ulasan Poco X3 – Raja Segala Midrange
September 25, 2020 Fahim Zahar

Pocophone atau nama lainnya Poco, adalah sub-jenama Xiaomi. Produk pertama mereka Pocophone F1 telah mencipta sejarah, kerana ia adalah peranti mercu pada harga seakan peranti kelas pertengahan. Malah, ketika ia dilancarkan – Poco F1 dengan semangat mengejek OnePlus yang telah beralih dari produk pembunuh peranti mercu ke produk premium.

Peranti Pocophone yang terbaru adalah Poco X3, yang mana merupakan sebuah peranti kelas pertengahan. Poco X3 juga merupakan peranti tersendiri mereka kedua, yang mana bukannya sebuah peranti Redmi yang diubah nama. Poco X3 juga merupakan produk ketiga Poco yang dijual di Malaysia selepas Poco F1 dan Poco F2 Pro. Kami sudah menggunakan peranti ini untuk beberapa minggu, dan ia memberikan satu pengalaman penggunaan di luar jangkaan. Ini adalah ulasan kami.


Spesifikasi Dan Rekaan

JenisPeranti Pintar
Paparan 6.67″ LCD, FHD+, HDR10, 120Hz
PemprosesSnapdragon 732G 8nm
Cip2 x 2.3 GHz Kryo 470 Gold
6 x 1.8 GHz Kryo 470 Silver
Cip GrafikAdreno 618
RAM6 Gigabyte
Muatan Dalaman64/128 GB UFS 2.1
Kamera Utama64 MP, f/1.9, (utama)
13 MP, f/2.2, 119 darjah (sudut ultra lebar)
2 MP, f/2.4, (makro)
2 MP, f/2.4, (kedalaman)
Kamera Depan20 MP, f/2.2
Bateri5160mAh
(Pengecasan pantas 33W)
Sim /Telefoni/NFCDwi SIM Nano, Ada
Ketahanan Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas Cap Jari Fizikal
Harga JualanRM899 6/64 – RM1099 6/128

Poco X3 meminjam elemen rekaan sebuah peranti Redmi, tetapi dengan identiti mereka yang tersendiri. Di panel belakang peranti ini jelas kelihatan nama Poco sebesar alam, yang pada hemat kami agak menjengkelkan. Kemudian, corak di tengah-tengah di bahagian belakang ini mengulangi corak mirip Mi 9T Pro sebelum ini. Bukan itu sahaja, modul kamera peranti ini turut menggunakan rekaan baru yang diambil inspirasi dari mount sebuah DSLR. Di bahagian hadapan peranti, ia menggunakan rekaan nirbingkai yang mana masih ada sedikit dagu yang tebal dan rekaan skrin berlubang bagi pengalaman penggunaan yang lebih imersif.

Saiz skrin adalah 6.67-inci LCD, yang menyokong paparan HDR10 dan juga sokongan kadar segar semula 120Hz. Agak mengejutkan untuk peranti kelas pertengahan menggunakan skrin yang menghampiri sebuah peranti mercu. Walaupun hanya LCD sahaja, tetapi ia mempunyai kecerahan yang baik sekali, warna yang menakjubkan serta pengalaman menonton yang baik. Tetapi, tidak dinafikan ada sedikit masalah light bleeding yang mana ada kelihatan seakan bayang-bayang di bawah kamera swafoto dan juga dagu. 120Hz pada peranti ini hanya terasa lancar selepas beberapa jam penggunaan, kerana pada awal ia terasa sedikit lengah masa.

Di sisi kiri hanya ada slot kad SIM dan sisi kanan pula adalah butang aras suara dan juga butang kuasa yang turut berfungsi sebagai pengimbas cap jari. Pengimbas cap jari peranti ini agak hebat dan pantas walaupun jari sedikit berpeluh. Di bawah peranti ada port bicu audio 3.5mm, USB-C, lubang mikrofon dan juga kekisi pembesar suara. Akhir sekali di bahagian atas, ada satu lagi lubang mikrofon serta sensor infra merah.

Prestasi

Poco X3 adalah peranti yang dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 732G, yang mana adalah antara yang pertama di dunia. Ia sedikit lebih berkuasa dari Snapdragon 730G, tetapi sedikit lemah dari segi GPU berbanding Snapdragon 765G. Peranti ini langsung tiada masalah dalam mengendali banyak aplikasi serentak kerana mempunyai pengurusan memori yang baik sekali. Jarang sekali masalah lengah masa berlaku pada peranti ini. Ini menjadikan tugasan harian sentiasa lancar dan kekal efisien. Tetapi apabila lengah masa mula berlaku, yang mana ini adalah standard bagi sebuah peranti yang menjalankan sistem operasi MIUI – ia agak menjengkelkan.

Apa yang kami sedari adalah, skrin 120Hz untuk sebuah peranti yang ada kaitan dengan Xiaomi seperti Redmi dan Poco – pasti akan ada masalah pada kelancaran tatalan. Tidak kira 90hz atau 120Hz, ia hanya baik mengikut masa sahaja. Apabila ia baik, ia baik sekali. Tetapi apabila teruk, semua tugasan boleh tergendala. Mungkin apa yang Xiaomi boleh lakukan adalah, menawarkan pilihan kadar segar semula bolehsuai agar peranti lebih optimasi dan lancar. Tidak semua aplikasi menyokong 120Hz dan tidak semua situasi menggunakan kadar segar semula baik. Dengan tetapan bolehsuai, bateri juga boleh lebih jimat.

Bermain permua pada peranti ini memang seronok dan mengasyikkan. Ia rasa seronok, puas dan lega. Walaupun tidak boleh menggunakan tetapan maksima, tetapi ia akan memberikan pengalaman bermain permua yang tidak mengecewakan. Bermain permua grafik tinggi juga baik sekali. Sepanjang menggunakan peranti ini, langsung tiada masalah memanas.

Skor Tanda Aras

Untuk Poco X3 ini, kami berikan layanan istimewa kerana ia unik. Kami telah lakukan tiga ujian tanda aras, iaitu AnTuTu, Geekbenh dan juga Don’t Kill My App. Dua ujian tanda aras ini anda sudah biasa, mari kami jelaskan kenapa kami gunakan ujian baharu ini.

Don’t Kill My App adalah ujian tanda aras untuk mengenalpasti sama ada sesebuah peranti itu mempunyai masalah pengurusan memori atau tidak. Lebih spesifik, ia adalah untuk menguji kemampuan aplikasi yang berjalan di latar. Jika nilainya menghampiri 100%, bermakna ia mempunyai pengurusan memori yang baik dan sepatutnya tiada masalah dalam mengendalikan aplikasi yang berjalan di latar.

Skor AnTuTu adalah 264,411 yang mana adalah skor yang memang kami jangkan untuk peranti yang dijana cip pemproses Snapdragon 7xx. Skor Geekbench pula adalah 542 untuk satu teras dan 1657 untuk multi-teras. Akhir sekali adalah skor Don’t Kill My App, yang menerima skor 100%.

Perisian

Seperti sebelum ini, semua peranti Poco akan menjalankan sistem operasi MIUI berasaskan Android. Tetapi khusus untuk Poco, ia adalaha MIUI for Poco. Pada Poco X3, ia menjalankan versi MIUI 12 berasaskan Android 10. Secara keseluruhan, ia sama sahaja dengan mana-mana peranti Xiaomi – tetapi dari segi antaramuka ia masih mirip MIUI 11. Hanya MIUI 12 sahaja yang mempunyai perubahan yang jelas sekali.

Talam notifikasi pada Poco X3 masih mirip MIUI 11 dan rasa bosan digunakan. Ia tiada keunikan kerana ia sama sahaja dengan MIUI pada Redmi atau Xiaomi. Apa yang membezakan ia adalah sebuah peranti Poco adalah dari segi talam aplikasi. Talam aplikasi pada peranti ini mempunyai satu sistem pengurusan yang boleh mengasingkan aplikasi mengikut kategori. Walaupun kadang-kadang ia tidak tepat, tetapi pada hemat kami itu adalah salah pembangun aplikasi yang tidak mengklasifikasikan aplikasi mereka dengan baik di Play Store.

Pengguna Xiaomi akan mudah sahaja menggunakan peranti ini, manakala pengguna Android lain mungkin akan mengambil sedikit masa untuk corak penggunaan yang lebuh bagus. Pengguna iOS mungkin mudah juga, kerana MIUI masih ada inspirasi dari iOS.

Poco X3 juga adalah peranti yang menerima kemaskini 3 tahun. Secara tidak langsung akan menjadikan peranti ini bertahan lagi di masa hadapan.

Kamera

Kamera pada peranti ini menggunakan tetapan kuad-kamera. Lensa utama adalah 64MP yang digabungkan dengan lensa sudut ultra lebar 13MP dengan sudut pandangan 119 darjah, serta dua lensa 2MP – satu makro dan satu sensor kedalaman. Ini adalah sensor kamera yang besar untuk peranti kelas pertengahan.

Mod Biasa
Mod Emas dan Cyberpunk

Hasil gambar yang diperoleh, anda tidak boleh mempunyai harapan yang tinggi. Ini kerana ia adalah peranti kelas pertengahan dan akan ada pengorbanan yang perlu dilakukan. Tetapi, hasilnya tidak mengecewakan dan memuaskan untuk peranti dalam kelas ini. Kami juga agak teruja dengan kemampuan kamera peranti ini. Cuma ia ada masalah sama seperti Google Pixel 4a, iaitu masa pasca-proses yang lama. Setiap gambar yang sudah diambil, sebaik sahaja ingin terus lihat hasil di galeri – ia masih memuat dan hasil akhir hanya terpapar selepas beberapa saat.

Sudut Ultra Lebar

Warna yang dihasilkan adalah berbeza mengikut lensa. Kadangkala ia sedikit pudar, kadangkala ia kebiruan. Walaupun warnanya tidak konsisten, ia masih mempunyai hasil yang menarik. Butiran tidak dipelihara dengan baik, fokus juga biasa sahaja. Mod potret agak kemas, ia mampu mengasingkan subjek dengan latar belakang dengan baik sekali.

Potret

Wajah manusia dilihat sedikit lembut seakan ada alat solek digunakan. Ini kerana aplikasi kamera MIUI sentiasa seakan mempunyai mod kecantikan yang tidak boleh dimatikan. Mod malam mempunyai sedikit masalah fokus, tetapi hasil warnanya memuaskan. Butiran kekal tidak dipelihara.

Mod biasa
Mod Malam

Kamera swafoto pula adalah paling teruk. Ia terlampau lembut dan tidak natural. Serta kadangkala kabur dan tidak mampu memberikan warna yang hidup. Mod makro pula agak baik, tetapi masih ada hingar kelihatan dan tidak cukup dioptimasikan dengan baik. Kualiti keseluruhan walau bagaimanapun agak baik.

Swafoto
Makro

Audio

Mengejutkan untuk sebuah peranti mampu milik ini, ia menyertakan sokongan pembesar suara stereo. Satu di bawah dan satu lagi di bahagian earpiece. Untuk sebuah peranti dalam kelas ini, kami amat bersyukur Poco menyertakan sokongan pembesar suara ini. Bukan sahaja peranti masih mengekalkan port bicu audio 3.5mm, penggunaan pembesar suara stereo akan memberikan satu pengalaman penggunaan berbeza.

Tetapi, ini tidak bermakna kualiti audionya hebat. Aras suara adalah tidak cukup kuat dan lantang yang mana tidak memuaskan. Kemudian, bass hanya ada sedikit sahaja dan tidak cukup dalam, dari segi vokal ia jelas sistem cuba mengoptimasikan untuk vokal yang baik – tetapi pendengaran muzik adalah kurang enak. Akhir sekali, hi seakan tiada menjadikan sesetengah muzik tidak menarik untuk didengari pada peranti ini. Paling mengecewakan, pembesar suaranya ada sedikit gangguan bunyi berdesis.

GPS Dan Telefoni

Panggilan telefon pada peranti ini memang baik sekali. Seperti yang kami katakan di bahagian audio tadi, vokal dioptimasikan dengan baik sekali. Sepanjang menggunakan peranti ini, kami langsung tidak menghadapi sebarang masalah.

GPS juga memeranjatkan peranti ini mampu mengunci lokasi dengan tepat dan jitu. Ia juga pantas dan arahan selok-belok dari aplikasi Google Maps mampu berfungsi dengan lancar sekali. Menjadikan peranti ini sesuai untuk digunakan dalam perjalanan yang jauh.

Bateri

5160mAh adalah kapasiti bateri yang agak besar. Ini menjadikan saiz peranti sedikit tebal dan berat. Tetapi syukur saiz bateri besar ini bukan gimik dan mampu memberi jangka hayat yang cuku[ panjang. Seperti biasa, di makmal Amanz kami akan hidupkan hampir kesemua tetapan berkaitan dengan rangkaian. Ini kerana ia akan memudahkan lagi tugasan kami. Untuk penggunaan ekstrem, termasuk permua, pelbagai aplikasi terbuka, media sosial, kamera, audio, GPS dan banyak lagi – ia mampu memberikan ketahanan sekitar 5-6 jam SOT.

Jika anda rasa itu sedikit, sabar dahulu. Penggunaan biasa, seperti hanya segelintir aplikasi sahaja, media sosial dan banyak penstriman – tiada masalah untuk mencapai lebih 7 jam SOT. Malah kami dapat rasakan yang jika anda hanya hidupkan apa yang perlu dan dengan mod penjimatan, peranti ini kami yakin tiada masalah untuk menerima jangka hayat bateri 8-9 jam SOT.

Sistm pengecasan pantas yang digunakan adalah 33W USB-A ke USB-C. Poco mengiklankan kemampuan mengecas sehingga 62% dalam masa 30 minit dan 100% dalam masa 65 minit. Dalam ujian kami, ia mengambil masa sedikit lama untuk mencapai 100% jika peranti sudah mati. 0% sehingga 100% adalah sekitar 1 jam 15 minit, iaitu seakan OnePlus yang menggunakan Warp Charge 30W.

Pesaing

Konklusi

Poco seperti biasa melakukan kerja yang agak gila. Mereka boleh dikatakan seakan membunuh produk sendiri. Ini kerana dengan penawaran seperti ini, bagaimana nasib peranti Mi Note 10 Lite atau Mi Note 10? Peranti Redmi lain pula bagaimana? Poco X3 secara tidak langsung menobatkan diri mereka sebagai pembunuh peranti kelas pertengahan dan berani kami katakan adalah “Raja Midrange“.

Jadi, untuk siapakah peranti ini dan adakah ia berbaloi untuk dimiliki? Poco X3 adalah peranti untuk semua orang dan silap anda jika anda membeli peranti lain pada harga bawah RM900. Peranti ini cukup berkuasa, mempunyai kamera yang hebat yang padat dengan fungsi menarik serta sebuah peranti seimbang dari semua aspek. Cuma, jika anda ada wang tambahan kami galakkan membeli terus variasi 6/128 GB dan kembangkan memori dengan kad microSD. Versi 64GB ini terlampau kecil dan akan menjadikan tugasan harian tergendala.

KELEBIHAN KEKURANGAN
  • Skrin 120Hz dengan sokongan HDR10 yang menarik
  • Kamera 64MP yang baik untuk peranti dalam kelas ini
  • Bateri besar yang menjami ketahanan
  • Pembesar suara stereo yang biasa-biasa sahaja.
  • Harga gila murah
  • Masalah masa pendam pada skrin menyebabkan tatalan tersangkut
  • Masih tidak mempunyai mod malam atau potret yang memuaskan
  • Prestasi tidak cukup konsisten
  • Peranti terasa berat dan penat jika lama dipegang
  • MIUI 12 for Poco yang rasa bosan
  • Memori 64GB masih ditawarkan
Komen