Biarpun berdepan dengan pelbagai cabaran semasa dan mendatang yang berkaitan dengan halangan pengeksportan teknologi dikenakan oleh Amerika Syarikat. Ia bagaimanapun tidak melunturkan semangat, sebaliknya Huawei dilihat masih sedia menawarkan sejumlah ciptaan produk buat para pengguna. Lihat sahaja apa yang berlaku baru-baru ini, terdapat pelbagai peranti terkini daripada Huawei yang berada di pasaran dan salah satu daripadanya Huawei Matepad (WiFi) dengan saiz paparan sebesar 10.4-inci.
Secara keseluruhan, spesifikasi yang disertakan pada tablet ini boleh dikategorikan hampir sempurna – rekaannya yang mewah, empat pembesar suara dengan kualiti audio memuaskan dan perkakasan dalaman yang baik. Tapi sayangnya, tablet ini tidak dilengkapi sokongan Google Mobile Services (GMS). Jadinya, keadaan ini secara tidak langsung menjadikan tablet ini sukar untuk digunakan oleh hampir kebanyakan pengguna. Lihat sahajalah, berapa ramai di antara kita yang mengeluh dengan masalah ketiadaan GMS ini. Sana sini orang tidak henti-henti bercakap mengenainya seakan tiada hari esok. Hal ini kerana, kebanyakan antara pengguna sangat bergantung dengan GMS, apatah lagi mereka yang sudah terbiasa dengan sokongan seperti ini pastinya akan berasa tidak lengkap tanpanya.
Namun begitu, ia bukan satu perkara mengejutkan dan tidak seburuk yang disangkakan. Bahkan, sejumlah peranti terkini Huawei yang berada di pasaran ketika ini juga tidak lagi menyokong GMS. Sebenarnya, dengan sokongan Huawei Mobile Services (HMS) juga pengguna masih boleh menggunakan peranti seperti biasa tanpa sebarang masalah. Cuma caranya mungkin sedikit berbeza dan terdapat pengubahsuaian yang perlu dilakukan. Jadi, bagaimana pengalaman menggunakan tablet tanpa GMS ini? Berbaloi atau tidak? Teruskan membaca artikel ulasan ini :
Spesifikasi Ringkas Peranti
Huawei Matepad ( WiFi ) | |
---|---|
Jenis | Tablet |
Paparan | 10.4″ IPS LCD (2000 x 1200) |
Pemproses | HUAWEI Kirin 810 |
Cip | 2 x 2.27 GHz Cortex-A76 6 x 1.88 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Mali-G52 MP6 |
RAM | 4 GB |
Muatan Dalaman | 64 GB ( MicroSD 512GB ) |
Kamera Utama | 8-Megapixel |
Kamera Depan | 8-Megapixel |
Bateri | 7,250mAh + Pengecasan 10W |
Sim / Telefoni | Tiada |
Ketahanan Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas Cap Jari + Imbasan Wajah |
Harga Jualan | RM1,399 |
Paparan
Paparannya di sini menggunakan skrin bersaiz 10.4-inci IPS LCD dengan resolusi 2000 x 1200 piksel. Dengan penggunaan bezel yang nipis, Huawei Matepad kelihatan seperti sebuah tablet yang moden. Peranti ini dilihat menggunakan kemasan bezel sekata – yang mana memberikan nisbah skrin-ke-badan sebanyak 84%. Seterusnya, paparan hadapan ini turut menerima pengiktirafan daripada TUV Rheinland untuk pencahayaan sinar biru yang rendah. Melaluinya, pengguna akan lebih selesa untuk menggunakan peranti ini dalam jangka masa yang panjang.
Selepas mengujinya dengan lebih lanjut, penulis mendapati skrin LCD yang digunakan mampu memberi paparan yang baik. Meskipun tidak secantik pada paparan panel jenis AMOLED, tetapi penulis berpendapat prestasi skrin pada Huawei Matepad ini masih di tahap memuaskan. Dengan persembahan warna yang cukup terang dan pelbagai paparan berasaskan teks juga mudah dibaca menerusi skrin peranti.
Meskipun ia juga hanya menyokong paparan dengan kadar segar semula standard (60Hz). Penulis merasakan apa yang ditawarkan ini sudah cukup memadai untuk penggunaan harian. Penulis berkata demikian kerana penulis sempat mencubanya dengan pelbagai aktiviti termasuklah menonton video, melayari web dan banyak lagi. Pengalamannya di sini memang terasa memuaskan, kemudian ditambah pula dengan kualiti audio yang baik menjadikannya suatu kombinasi yang bagus.
Tidak ketinggalan, darjah pandangannya juga dilihat baik sehinggakan boleh dipandang dari pelbagai sudut. Dalam erti kata yang lain, ia cukup memadai untuk penggunaan harian pengguna. Bagaimanapun, terdapat sedikit kekangan mungkin timbul apabila anda menggunakan tablet ini dengan aksesori papan kekunci. Di mana, persembahan darjah pandang agak lemah kerana ia memberikan paparan dengan sudut yang terhad sekitar 30 darjah sahaja.
Untuk makluman, tablet ini turut menyokong pelbagai aksesori tambahan seperti papan kekunci yang juga boleh berfungsi sebagai kerangka pelindung dan juga sokongan M-Pencil. Perlu diakui tidak balas papan kekuncinya memuaskan. Namun begitu, penulis berhadapan sedikit masalah untuk membiasakan diri dengan papan kekunci ini pada awalnya. Tidak tahu mengapa, penulis kurang selesa dengan papan kekunci ini. Tapi, itu adalah cita rasa penulis – jadi ia bergantung pada keselesaan masing-masing.
Rekaan
Seterusnya, rekaan. Selepas diteliti, penulis mendapati Huawei menggunakan bingkai logam dan panel belakang yang di perbuat daripada bahan berasaskan polikarbonat. Namun begitu, ia langsung tidak terasa murah sama sekali. Kemasan pusam yang digunakan juga memberikan penampilan yang menarik. Cuma sayangnya, ia dilihat begitu mudah memerangkap kotoran kesan cap jari.
Pada pandangan mata kasar, saiznya di sini memang besar. Namun, tablet ini masih selesa untuk dipegang. Ditambah lagi dengan struktur binaan tablet yang cukup kemas menjadikannya kelihatan benar-benar premium. Perlu diakui, penulis begitu menyukai akan rekaannya – ianya juga tidak terlalu berat, sekaligus memudahkan penulis untuk memegangnya dalam jangka masa yang lama.
Bercakap mengenai susun atur butang standard, kesemuanya ditempatkan di kawasan yang mudah untuk dicapai. Pada sisi kanan, anda akan temui butang laras suara dan empat lubang mikrofon yang berkualiti tinggi. Butang kuasa pula anda akan temui pada sisi atas peranti bersama dua pembesar suara. Sementara, sebelah kiri pula terdapatnya slot untuk dulang kad microSD – mesra diingatkan, model yang diuji ini adalah versi wifi sahaja.
Turut dapat dilihat, dua pembesar suara pada bahagian bawah dan sambungan yang digunakan di sini adalah port berasaskan USB-C. Keempat-empat pembesar suara ini ditala oleh sokongan Harman Kardon – prestasinya dilihat memuaskan dengan bunyi yang lantang. Penulis akan mengulas lanjut mengenainya pada bahagian audio. Di Malaysia, Huawei Matepad hanya ditawarkan dalam satu pilihan warna sahaja iaitu Midnight Grey.
Prestasi
Untuk sistem operasi, Huawei Matepad menggunakan antaramuka EMUI 10.1 berasaskan Android 10 terkini. Android 10? Sabar dan bawa bertenang. Anda jangan salah dan keliru. Ya, memang benar tablet ini menggunakan versi Android tetapi, ia tidak disertakan sebarang perkhidmatan daripada Google – ini menjadikan tiada sokongan Google Play.
Namun begitu, usah terlalu risau kerana Huawei sedia menawarkan sejumlah alternatif lain sebagai pengganti iaitu Huawei AppGallery dan Petal Search. Ianya mungkin tidak sempurna, tetapi boleh dikatakan sebenarnya sedikit sebanyak dapat membantu pengguna. Lagipun, Huawei AppGallery kini dilihat memberi lebih banyak penawaran aplikasi kepada pengguna – termasuklah aplikasi penting seperti perbankan, kedai atas-talian dan sebagainya. Tapi, andai kata aplikasi yang dicari tidak dijumpai, Petal Search adalah satu lagi aplikasi carian yang boleh anda cuba.
Dari segi antaramuka, penulis mendapati ia menyajikan paparan yang ringkas dan kemas – selari dengan sejumlah peranti Huawei sedia ada. Ia dipadatkan dengan sejumlah ciri dan fungsi menarik – termasuk mod gelap yang diaplikasikan kepada keseluruhan sistem. Ikon juga dilihat teratur bersama pilihan warna yang nampak ceria.
Untuk spesifikasi, Huawei Matepad menggunakan cip pemproses Kirin 810 (7nm) yang dilengkapi sokongan lapan teras, iaitu dua teras Cortex-A76 (2.27GHz) dan enam teras Cortex-A55 (1.88GHz), selain turut dipadankan dengan GPU Mali-G25. Untuk memori, tablet ini hanya ditawarkan dalam satu variasi sahaja iaitu 4GB RAM dan storan dalaman 64GB. Sekali lagi diingatkan, variasi yang diuji ini adalah versi wifi.
Sepanjang ulasan, peranti dilihat berfungsi dengan baik. Ia dilihat mampu menjalankan tugasan harian dengan baik terutamanya untuk tugasan pejabat. Seterusnya, tatalan juga terasa lancar dan penulis tidak berhadapan dengan isu lengah masa yang melampau – termasuk ketika membuka, menutup dan menukar aplikasi. Selain itu, ia juga berkebolehan untuk membuat multi-tugasan yang berfungsi pada sokongan multi-skrin bagi memudahkan lagi proses kerja. Masalah panel belakang menjadi panas melampau juga tidak dihadapi oleh penulis, sebaliknya hanya terasa suam-suam kuku sahaja.
Kamera
Kebiasaanya, tablet tidak berfokuskan pada keupayaan kamera. Namun begitu, Huawei dilihat seakan tidak mengabaikan bahagian ini apabila turut memuatkan kamera dengan keupayaannya yang memuaskan untuk penggambaran harian. Konfigurasi kameranya di sini adalah gabungan 8-Megapixel untuk lensa utama dan 8-Megapixel untuk kamera swafoto. Untuk pilihan fungsi, ia hadir dengan sejumlah mod menarik secara terbina termasuk HDR, panorama, fungsi kecantikan dan sebagainya. Tetapan videonya pula menyokong rakaman tertinggi 1080p@30fps pada kamera belakang dan juga hadapan.
Penulis berpendapat, keupayaan kameranya dilihat mampu memberi prestasi penggambaran menarik terutamanya dalam situasi dengan pencahayaan yang cukup. Hasil gambar dilihat terang dan tajam, dengan pantulan warna yang memuaskan. Tapi sayangnya, penggunaan pada pencahayaan yang rendah pula menghasilkan gambar yang kurang memuaskan dengan kesan penampakan hingar agak jelas.
Audio
Seperti dijanjikan, penulis akan menyentuh sikit mengenai kualiti audionya. Tablet ini hadir dengan empat pembesar suara ditempatkan pada setiap penjuru peranti. Pembesar suara ini dikuasai sistem bunyi Harmon Kardon – sekaligus memberikan prestasi audio yang baik. Penulis sempat mengujinya dan mendapati kualitinya terasa baik. Bunyi yang keluar juga memuaskan dengan aras suara yang cukup kuat dan lantang – dilihat cukup memadai untuk pendengaran yang baik.
Bateri
Huawei Matepad menggunakan bateri berkapasiti 7,250mAh – iaitu kapasiti yang sama ditemui pada Huawei MatePad Pro sebelum ini. Pada hemat penulis, bateri ini cukup besar untuk sebuah tablet. Melaluinya, ia mampu memberi masa penggunaan yang lama. Di mana, penulis mendapati ia mampu bertahan sekitar 2 hari untuk penggunaan sederhana. Berbeza pula dengan penggunaan sepanjang hari, ia dilihat mampu mencatatkan masa Screen-on-Time (SoT) yang memuaskan – iaitu sekitar 9 jam dengan penggunaan penuh. Tapi sayangnya, peranti ini hanya menyokong pengecasan 10W, jadinya proses pengecasan penuh mengambil masa sekitar 3 jam.
Perbandingan Peranti Pesaing
Huawei Matepad | Apple iPad 10.2 2020 | Samsung Tab S6 Lite |
10.4″ IPS LCD, 1200 x 2000, 60Hz (224 PPI) | 10.2″ IPS LCD, 1620 x 2160, 60Hz (264 PPI) | 10.4″ TFT, 1200 x 2000 , HDR10+, 60Hz (224 PPI) |
Kirin 810 (7nm) 4 x 2.27 GHz Cortex A76 4 x 1.88 GHz Cortex A55 | Apple A12 Bionic (7nm) 2 x 2.5 GHz Vortex 4 x 1.6 GHz Tempest | Exynos 9611 (10nm) 4 x 2.3 GHz Cortex A73 4 x 1.7 GHz Cortex A53 |
Mali G52 MP6 | Apple GPU | Mali G72 MP3 |
4 Gigabyte | 3 Gigabyte | 4 Gigabyte |
64GB MicroSD sehingga 512TB | 32/128 Gigabyte | 64 Gigabyte MicroSD sehingga 1TB |
Kamera Utama 8 Megapixel (f/2.0) | Kamera Utama 8 Megapixel f/2.4 | Kamera Utama 8 Megapixel, (f/1.6+f/3.4+f/2.5+f/2.2) |
Kamera Hadapan 8-Megapixel (f/2.3) | Kamera Hadapan 1.2 Megapixel f/2.2 | Kamera Hadapan 5 Megapixel f/2.5 |
Tiada Kemampuan Kalis Air | Tiada Kemampuan Kalis Air | Tiada Kemampuan Kalis Air |
Tiada Bicu audio 3.5mm | Bicu audio 3.5mm | Bicu audio 3.5mm |
Sokongan M-Pen | Sokongan Apple Pencil | Sokongan S-Pen |
7250 mAh (Berwayar 18W) | 8100 mAh (Berwayar 20W) | 7040 mAh (Berwayar 15W) |
RM1399 | Bermula RM1799 | RM1699 |
Kesimpulan
Apa yang dapat penulis simpulkan di sini, peranti ini hadir dengan penawaran spesifikasi yang serba cukup. Paparan luas, bateri besar serta cip yang memadai dengan fungsinya. Tetapi sayang, masih ada perkara penting yang hilang padanya iaitu tiada GMS. Tapi, anda kata itu bukan masalah bagi anda, mungkin anda boleh boleh pertimbangkan untuk membeli Huawei MatePad ini pada harga RM1,399 seunit. Setiap pembelian akan didatangkan aksesori tambahan papan kekunci secara percuma.
Pro
- Selesa untuk penggunaan sepanjang hari, kemasan tidak licin
- Pemproses baik dalam kelasnya
- Kualiti audio yang amat memuaskan
- Jangka hayat bateri yang memuaskan
Kontra
- Tiada sokongan GMS
- Pengecas 10W sahaja disertakan
- Aksesori tambahan – papan kekunci kurang selesa digunakan dalam jangka masa panjang