Samsung Galaxy S20 Fan Edition (FE) Diperlihatkan Dalam Video Tertiris

Samsung Galaxy S20 Fan Edition (FE) Diperlihatkan Dalam Video Tertiris

Diterbitkan pada Sep 21, 2020 oleh .

Hanya berbaki beberapa hari sahaja untuk pelancaran Samsung Galaxy S20 Fan Edition (FE). Berdasarkan maklumat yang tertiris sebelum ini, rasanya kita sudah boleh mengagak satu persatu penawaran yang bakal dibawa oleh peranti ini.

Kini tiada lagi rahsia, peranti ini telah diperlihatkan dalam sebuah video tertiris. Ia tidak sekadar menunjukkan reka bentuk peranti sahaja, sebaliknya video berdurasi enam minit tersebut turut mengesahkan sejumlah spesifikasi utama.

Video tersebut memaparkan Samsung Galaxy S20 Fan Edition (FE) dalam kemasan bewarna biru gelap. Dari segi penawaran saiz paparan, ia dilihat berada di tengah-tengah antara model Samsung Galaxy S20 dan Samsung Galaxy S20 Ultra 5G. Paparan hadapannya hadir dengan rekaan berlubang yang rata bersama bezel lebih tebal berbanding Samsung Galaxy S20.

Ia juga dilihat menggunakan panel belakang berasaskan plastik dengan modul kamera segi empat yang menempatkan tiga lensa utama. Ketirisan juga mendedahkan konfigurasi pada lensa tersebut adalah sama seperti Samsung Galaxy S20 dengan gabungan 12-Megapixel + 12-Megapixel + 8-Megapixel.

Untuk susun atur butang standard, sisi kanan terdapatnya butang kuasa dan butang laras suara. Bahagian atas adanya lubang mikrofon dan slot untuk SIM. Manakala, bawah peranti pula menempatkan sambungan port USB-C dan pembesar suara. Bagaimanapun, video tersebut tidak pula memperlihatkan binaan pada sisi kiri – jadinya ia boleh dianggap tiada sebarang butang pada bahagian tersebut.

Untuk spesifikasinya, video turut mengesahkan ianya hadir dengan skrin FHD+ 120Hz, dijana Snapdragon 865, memori 6GB RAM, storan 128GB dan bateri 4,500mAh. Selain itu, ia juga dikatakan disertakan pembesar suara stereo dengan sokongan Dolby Atmos, sokongan pengecasan tanpa wayar dan keupayaan kamera dengan zum digital sehingga 30X.

Tidak ketinggalan, harga jualannya juga dikhabarkan telah tertiris iaitu sekitar €699 (~RM3,408). Namun begitu, mesra diingatkan harga yang tertiris ini masih diperingkat ura-ura dan untuk ketahui lebih lanjut kita tunggu pelancaran rasmi kelak.



TIPS & ULASAN