Komputer riba ASUS ROG Zephyrus G14 diperkenalkan awal tahun ini sebagai sebuah komputer riba konsep yang bukan sahaja hadir dengan rekaan nipis, tetapi juga hadir dengan komponen yang cukup berkuasa.

Terkini, ASUS telah bekerjasama dengan syarikat rekaan pakaian ACRONYM untuk memperkenalkan sebuah komputer riba yang lebih unik daripada apa yang diperkenalkan ASUS sebelum ini.

Dari segi rekaan, ia dapat dilihat bahawa ACRONYM menggunakan kepakaran mereka untuk mengubah sedikit rekaan Zephyrus G14 yang boleh dilihat di bahagian belakang paparan komputer riba tersebut.

Bahagian papan kekunci komputer riba ini juga hadir dengan butang kekunci dengan warna berbeza yang memfokuskan kepada industri penciptaan kandungan berbanding dengan industri gaming.

Spesifikasi dalaman ASUS ROG Zephyrus G14 ACRONYM ini adalah sama seperti apa yang hadir pada model sebelum ini. Ia akan dilengkapi dengan CPU AMD Ryzen 9 4900HS, memori DDR4 sebanyak 16GB dan juga storan SSD sebesar 1TB dan menggunakan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2060 Max-Q.
Dari segi paparan, ia menggunakan skrin IPS LED bersaiz 14 inci pada resolusi QHD (2560 x 1440) dan kadar segar semula 60Hz.

Menurut ASUS, komputer riba ASUS Zephyrus G14 sudahpun mula dijual di beberapa pasaran terpilih, dan akan tiba di pasaran tempatan pada bulan Oktober kelak pada harga RM11,299.