Realme Narzo 20 Pro, Narzo 20 Dan Narzo 20A Juga Rasmi – Sokong MediaTek Helio G95, Bateri Besar

Realme Narzo 20 Pro, Narzo 20 Dan Narzo 20A Juga Rasmi – Sokong MediaTek Helio G95, Bateri Besar

Diterbitkan pada Sep 21, 2020 oleh .

Selain daripada Realme C17, jenama ini juga telah mengemaskini barisan Realme Narzo mereka dengan penawaran terkini. Dikenali sebagai siri Realme Narzo 20, terdapat tiga model berbeza yang telah diperkenalkan di bawahnya yang terdiri dengan Realme Narzo 20 Pro, Realme Narzo 20 dan Realme Narzo 20A. Ketiga-tiganya hadir dengan sejumlah ciri menarik tersendiri untuk menjadikannya unik.

Kita mulakan dengan Realme Narzo Pro terlebih dahulu. Skrin hadapan adalah bersaiz 6.5-inci FHD+ dengan nisbah skrin-ke-badan sebanyak 90.5%. Paparan ini turut menyokong kadar segar semula tinggi 90Hz. Ia menggunakan cip pemproses terkini daripada MediaTek iaitu MediaTek Helio G95 dan dibantu memori sehingga 8GB RAM serta storan dalaman sehingga 128GB. Untuk perisian, ia menggunakan antaramuka Realme UI berasaskan Android 10 terkini.

Dari segi penggambaran, ia dilengkapi empat kamera utama dengan konfigurasi 48-Megapixel (utama) (f/1.8) + 8-Megapixel (Ultra-lebar) (f/2.3) + 2-Megapixel (B&W)(f/2.4) + 2-Megapixel (f/2.4). Kamera hadapan pula adalah sebesar 16 Megapixel (f/2.1) yang diletakkan pada paparan hadapan berlubang. Baterinya di sini berkapasiti 4,500mAh dengan pengecasan pantas 65W SuperDart Charge. Tersedia dalam dua warna menarik iaitu White Knight dan Black Ninja, peranti ini dijual pada harga bermula INR14,999 (~RM840) untuk versi asas.

Seterusnya, Realme Narzo 20. Peranti ini dilengkapi paparan bersaiz 6.5-inci HD+ dengan nisbah skrin-ke-badan 88.7%. Ia menggunakan cip pemproses MediaTek Helio G85, memori 4GB RAM dan storan dalaman sehingga 128GB. Ruangan ini turut boleh dikembangkan melalui sokongan kad microSD. Kamera utamanya terdiri dengan tiga lensa iaitu 48-megapixel (utama) + 8-Megapixel (ultra-lebar) + 2-Megapixel (makro).

Kamera hadapan pula sebesar 8-Megapixel yang juga ditempatkan pada panel hadapan bertakuk kecil. Seterusnya, Realme Narzo 20 dibekalkan bateri 6,000mAh dengan pengecasan pantas 18W menerusi port USB-C. Juga tersedia dalam dua pilihan warna iaitu Glory Silver dan Victory Blue, peranti ini berharga bermula INR10,499 (~RM588) untuk versi asas.

Akhir sekali adalah, Realme Narzo 20A. Peranti ini hadir dengan skrin bersaiz 6.5-inci FHD+ dengan nisbah-ke-badan sebanyak 89.8%. Ia juga menggunakan pemproses Snapdragon 665, memori sehingga 4GB RAM, storan dalaman sehingga 64GB dan sistem operasi Realme UI berasaskan Android 10 terkini. Konfigurasi kamera utamanya terdiri dengan 12-Megapixel (utama) (f/1.8) + 2-Megapixel (B&W) + 2-Megapixel (retro). Kamera hadapan pula sebesar 8-Megapixel yang ditempatkan pada paparan hadapan bertakuk.

Bateri disertakan pula adalah 5,000mAh dengan pengecasan 10W melalui port microUSB. Pada masa sama, ia turut menyokong pengecasan berbalik yang boleh berfungsi sebagai powerbank. Tersedia dalam dua warna menarik iaitu Glory Silver dan Victory Blue, peranti ini dijual pada harga bermula INR8,499 (~RM477).

Buat masa ini ketiga-tiga peranti ini hanya ditawarkan untuk pasaran India sahaja.



TIPS & ULASAN