Cari @ Amanz

Sejak kebelakangan ini, kita dapat lihat peranti dengan rekaan boleh-lipat semakin menjadi trend. Banyak pengeluar yang berlumba-lumba untuk menghasilkan peranti boleh lipat mereka sendiri untuk memberi lebih banyak penawaran kepada pengguna.

Xiaomi juga dilihat mempunyai perancangan yang sama – berikutan terdapatnya satu laporan yang memetik sumber mengatakan jenama ini telah mempatenkan peranti dengan rekaan tri-skrin boleh lipat. Difahamkan, paten reka bentuknya juga telah dijumpai di Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) dan diluluskan sekitar minggu lepas.

Memetik imej dikongsi, konsep yang digunakan hadir dengan paparan yang boleh dilipat secara bertindih. Selain itu, ia turut menampilkan dwi skrin yang digabungkan menggunakan engsel dan boleh berfungsi seumpama sebuah tablet apabila ianya dibuka – yang dikatakan saiz paparan mencecah 9-inci. Seterusnya, bezel peranti juga dilihat cukup nipis dan kamera utamanya hanya berfungsi apabila peranti ini digunakan dalam mod tablet.

Paparan hadapan peranti pula dilihat sangat mirip dengan Samsung Galaxy Z Fold 2 – penggunaan skrin berlubang pada bahagian tengah untuk kamera swafoto dengan lensa tunggal. Turut dapat dilihat ialah butang kawalan, slot untuk talam SIM dan satu butang agak lebar yang berkemungkinan berfungsi sebagai ‘kunci’ untuk membuka lipatan peranti diletakkan pada sisi kanan. Kemudian, pembesar suara dan sambungan USB Type-C juga turut dapat dilihat pada bahagian atas dan bawah peranti.

Buat masa ini, ia hanya sekadar pemfailan paten sahaja dan belum diketahui sama ada Xiaomi akan menggunakan sepenunya pada produk akhir. Dalam perkembangan berbeza, Xiaomi dilaporkan berkemungkinan besar akan memperkenalkan peranti boleh lipat pertama mereka Secara komersial seawal tahun 2021 kelak.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd