Cari @ Amanz

Vivo V20 adalah siri baru bagi peranti Vivo, yang mana memfokuskan kepada swafoto, prestasi tinggi serta rekaan premium. Baru-baru ini, peranti ini telah dilancarkan di Thailand melalui laman web JD.com – tetapi hanya versi Pro sahaja iaitu Vivo V20 Pro dan Vivo V20 biasa hanya diacah sahaja.

Vivo V20 Pro menggunakan skrin 6.44-inch FHD+ AMOLED, 60Hz, memori 8GB RAM, storan dalaman 128GB dan dijana dengan Snapdragon 765G. Kamera utama menggunakan tetapan tri-kamera, melalui rekaan seakan Vivo X50 tetapi dengan lensa 64MP + 8MP + 2MP (utama, sudut ultra lebar, mono). Manakala kamera swafoto pula, menggunakan tetapan dwi-lensa 44MP + 8MP (utama dan sudut ultra lebar).

Kamera peranti ini hadir dengan fungsi Eye Autofocus, yang mana boleh kekal fokus pada subjek walaupun tidak melihat pada kamera. Peranti ini turut menyertakan sokongan mod malam serba baru, rakaman video 4K dan kamera swafoto dengan kemampuan rakaman video gerak perlahan. Ia turut mempunyai mod seperti tripod waktu malam, makro, 3D soundtracking, double exposure, dan video potret.

Rekaan peranti ini tidak dinafikan mengikut rekaan Vivo X50, tetapi dengan spesifikasi dalaman serta kamera yang telah di turun taraf.

Vivo V20 Pro turut mempunyai pembesar suara stereo, pengimbas cap jari bawah skrin, bateri 4000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 33W, dan menjalankan sistem operasi Funtouch OS berasaskan Android 10. Peranti ini dilihat ditawarkan di Thailand pada harga THB 14,999 iaitu sekitar RM1,980. Kemasan panel belakang adalah jenis pusam dengan pilihan warna Sunset Melody (cerun putih jingga), Midnight Jazz (hitam), dan Moonlight Sonata (putih).

Untuk Vivo V20 versi biasa, ia dikatakan akan menggunakan skrin bertakuk kecil, kamera swafoto satu lensa 44MP, dijana Snapdragon 720G, memori dan storan yang sama dengan versi Pro, tetapan tri-kamera 64MP serta bateri dan sistem pengecasan yang sama. Butirab lain dan harga hanya akan diumumkan kelak.

Di Malaysia, mungkin dua peranti ini tidak akan dijual dan hanya akan memfokuskan kepada Vivo V20 SE.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd