Cari @ Amanz

Microsoft Ingin Mengembalikan Lebih Banyak Air Daripada Apa Yang Digunakan Menjelang 2030

Oleh Nazrin

Link Copied!

Syarikat-syarikat teknologi besar seperti Apple, Google, Microsoft dan sebagainya semua mempunyai matlamat untuk memastikan operasi syarikat mereka tidak merosakkan persekitaran dengan perjanjian untuk memastikan pengeluaran karbon mereka adalah pada tahap sifar.

Microsoft baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka juga mempunyai satu lagi matlamat untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar, iaitu dengan konsep “water positive“, ataupun mengembalikan lebih banyak air daripada apa yang digunakan oleh syarikat tersebut menjelang tahun 2030.

Microsoft bercadang untuk menjadikan konsep ini sebuah realiti dengan beberapa cara. Sebelum ini Microsoft telahpun memperlihatkan kejayaan dengan teknik menyejukkan pusat data dengan merendamnya kedalam laut.

Dengan keputusan itu, mereka selepas ini akan memperlihatkan cara untuk mengurangkan jumlah air yang diperlukan untuk menyejukkan pusat data tersebut di masa akan datang.

Selain daripada itu, Microsoft juga akan memulakan beberapa projek baru, seperti pemulihan kawasan paya termasuklah mengurangkan dan pengalihan penggunaan tar jalan.

Microsoft juga telah mula proses kearah menjadi water positive ini dengan menyediakan kawasan tadahan air hujan di kampus Silicon Valley mereka dan juga pusat rawatan sisa mereka tersendiri. Air yang tidak boleh diminum seperti air paip juga adalah menggunakan air yang dikitar semula oleh sistem rawatan air mereka sendiri.

Microsoft juga dikatakan akan memperkenalkan beberapa projek air baru di pejabat Arizona mereka tidak lama lagi, seperti ujian sistem penyejukan yang tidak akan diaktifkan jika suhu pusat data mereka tidak cukup tinggi.


Komen ()