Nokia 3.4 Dan Nokia 2.4 Dilancarkan – Sokong Snapdragon 460, Kamera Utama 13MP

Nokia 3.4 Dan Nokia 2.4 Dilancarkan – Sokong Snapdragon 460, Kamera Utama 13MP

Diterbitkan pada Sep 23, 2020 oleh .

HMD Global kini telah memperkenalkan dua penambahan model baru untuk segmen peranti kelas permulaan mereka menerusi pengenalan Nokia 3.4 dan Nokia 2.4. Kedua-dua model ini dilihat hadir dengan sejumlah spesifikasi lebih terkini.

Kita mulakan dengan Nokia 3.4 terlebih dahulu. Peranti ini hadir dengan skrin bersaiz 6.39-inci HD+, selain dilengkapi rekaan skrin berlubang. Untuk spesifikasi dalaman, ia menggunakan cip pemproses Snapdragon 460, memori sehingga 4GB RAM, storan dalaman sehingga 64GB (ruang boleh dikembangkan melaui kad microSD) dan bateri sebesar 4,000mAh.

Konfigurasi kameranya pula adalah gabungan 13-Megapixel (utama) + 5-Megapixel (ultra-lebar) + 2-Megapixel (kedalaman). Spesifikasi lain termasuklah pengimbas cap jari pada paparan, butang Google Assistant khusus, sambungan port USB-C, NFC dan bicu audio 3.5mm. Peranti ini ditawarkan pada harga bermula €159 (~RM768) dan tersedia dalam tiga pilihan warna menarik – Fjord, Dusk dan Charcoal.

Seterusnya, Nokia 2.4 pula. Ia hadir dengan paparan bersaiz 6.5-inci HD+ dengan nisbah aspek 21:9. Berbeza dengan Nokia 3.4, paparan pada Nokia 2.4 menggunakan rekaan bertakuk kecil sama seperti sejumlah peranti Nokia yang lain. Seterusnya, peranti ini menggunakan cip pemproses MediaTek Helio P22, memori sehingga 3GB RAM, storan dalaman 64GB (boleh dikembangkan melalui kad microSD) dan bateri sebesar 4,500mAh.

Untuk kamera, ia menggunakan dwi-lensa utama dengan konfigurasi 13-Megapixel + 2-Megapixel dan kamera hadapan pula sebesar 5-Megapixel. Nokia 2.4 dijual pada harga €119 (RM~575), selain turut tersedia dalam tiga pilihan warna menarik – Fjord, Dusk dan Charcoal.



TIPS & ULASAN