Jabra akhirnya telah melancarkan TWS mereka dengan sokongan pembatalan hingar aktif. Sudah lama pesaing mereka hadir dengan TWS dengan sokongan ini, kini giliran mereka pula. Dengan kepakaran mereka dalam kualiti pembatalan hingar pasif, mereka kembangkan kepada sokongan ANC yang menjamin kepuasan berganda kepada pengguna.

TWS ini adalah Jabra Elite 85t, yang mana fon telinganya menggunakan rekaan separa terbuka dengan silikon EarGel. Untuk sokongan pembatakan hingar aktif ini, Jabra menggunakan teknologi mereka tersendiri Jabra Advanced ANC melalui cip Qualcomm. Sistem pembatalan hingar aktif mereka turut menyokong HearThrough dan bukan sekadar hidup/matikan ANC ini. Mikrofon yang digunakan adalah enam, dua di luar dan satu di dalam untuk setiap fon telinga.

Pemacu audio yang digunakan adalah 12mm, yang menjanjikan bass yang lebih dalam, pengalaman yang lebih selesa, dan menjamin tiada masalah sakit telinga seperti model sebelum ini. Untuk bateri, ia menjamin 5.5 jam dengan mod ANC aktif, 25 jam termasuk pod pengecasan dan 31 jam dengan pod pengecasan tanpa mod ANC. Jabra Elite 85t turut akhirnya menyokong pengecasan nirwayar.
Jabra menawarkan warna titanium/hitam, emas/beige, kuprum/hitam, hitam atau kelabu dengan tanda harga $229, iaitu sekitar RM948. Ia akan hadir ke pasaran Malaysia bermula bulan Disember ini, tetapi harga dan tarikh spesifik masih belum diumumkan.