Seperti yang telah diramalkan sebelum ini, China dilaporkan enggan meluluskan penjualan perniagaan TikTok Amerika Syarikat menerusi pembentukan syarikat baharu TikTok Global yang diumumkan sebelum ini. Penjualan dihalang kerana China melihat Amerika Syarikat menggunakan taktik memeras dan membuli dan untuk memaksa penjualan perniagaan yang dimiliki Bytedance kepada Oracle dan Walmart.
Selain ini China juga berkata taktik kotor dan tidak adil telah digunakan oleh pentadbiran Presiden Trump untuk memaksa Bytedance menjual TikTok Amerika Syarikat dengan alasan seperti mendatangkan risiko kepada keselamatan negara. Sebelum aplikasi diugut akan diharamkan dari A.S, penjawat awam dan anggota tentera negara tersebut telah dilarang dari memasang TikTok pada peranti.
Pasca pengumuman TikTok Global pelbagai isu mula kedengaran. Pertama sekali Presiden Trump dikatakan tidak berpuas hati Bytedance masih menjadi pemegang 80% saham dengan kod sumber serta kecerdasan buatan tidak dijual. Oracle dan Walmart pula ingin 80% saham ini dibahagikan kepada pelabur sebelum ini manakala media China pula menggesa Beijing supaya menolak penjualan TikTok bagi menjadi maruah negara.