Setelah memintas Intel sebagai jenama cip pemprosesan untuk komputer desktop dan komputer riba, AMD baru-baru ini memperkenalkan siri cip pemprosesan baru yang dibina khusus untuk peranti-peranti Chromebook.
Cip-cip pemprosesan ini dinamakan AMD Ryzen/Athlon 3000 C dan bergantung kepada model CPU, ia dibina berdasarkan cip pemprosesan 12nm Picasso (Ryzen 3000 C) ataupun cip pemprosesan 14nm Dali (AMD Athlon 3000 C).
Buat masa ini, AMD telah memperkenalkan beberapa model CPU, termasukklah:
- AMD Ryzen 7 3700C (4 teras, 8 bebenang kuasa, 10 teras grafik Radeon)
- AMD Ryzen 5 3500C (4 teras, 8 bebenang kuasa, 8 teras grafik Radeon)
- AMD Ryzen 3 3200C (2 teras, 4 bebenang kuasa, 3 teras grafik Radeon)
- AMD Athlon Gold 3150C (2 teras, 4 bebenang kuasa, 3 teras grafik Radeon)
- AMD Athlon Silver 3050C (2 teras, 2 bebenang kuasa, 2 teras grafik Radeon)
Walaupun setiap cip pemprosesan ini hadir dengan spesifikasi berbeza, kesemua CPU ini hanya menggunakan 15W kuasa, membuatkannya cekap digunakan didalam peranti-peranti Chromebook.
Daripada senarai CPU yang diperlihatkan, AMD nampaknya sedang cuba untuk memasuki segenap pasaran Chromebook, daripada model-model premium, hinggalah ke model mampu milik.
Pihak AMD juga mengatakan bahawa mereka akan memfokuskan kepada peranti Chromebook, tetapi tidak menolak kemungkinan untuk menguasakan peranti ChromeOS yang lain.
Buat masa ini, ia masih tidak diketahui lagi bilakah peranti-peranti Chromebook yang dikuasakan CPU AMD ini akan tiba di pasaran antarabangsa.